TDM siasat isu budaya "yeye", tindakan tegas jika terbukti salah

9 Jan 2026, 8:57 AM
TDM siasat isu budaya "yeye", tindakan tegas jika terbukti salah

SHAH ALAM, 9 JAN: Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggotanya yang terbabit dalam budaya tidak sihat, susulan isu tular mengenai ‘budaya yeye’ yang mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia dalam kenyataan berkata siasatan dalaman akan dijalankan serta-merta terhadap aduan yang diterima berhubung isu berkenaan.

Jelas kenyataan itu, kepimpinan baharu TDM memandang serius perkara itu dan memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati bersalah.

"TDM tidak akan berkompromi dengan salah laku warganya sama ada pegawai atau anggota yang didapati terbabit secara langsung atau tidak langsung.

"Tindakan tegas akan diambil mengikut peraturan perkhidmatan dan undang-undang sedia ada jika terbukti bersalah," kata kenyataan itu.

Bagi memastikan isu integriti dan aktiviti tidak bermoral dapat dibendung, TDM menggariskan beberapa langkah penguatkuasaan dan pencegahan jangka panjang.

"Antaranya ialah pemantauan pemerintahan iaitu semua pemerintah di setiap pasukan, formasi, dan pusat latihan diarah melaksanakan pemantauan berterusan serta memberi peringatan berkala kepada warga tentera.

"Selain itu, TDM akan memperkasakan pendidikan moral, kesedaran integriti, dan etika di semua peringkat. Ini termasuk mempergiatkan aktiviti keagamaan dan kerohanian bagi memupuk jati diri serta nilai profesionalisme yang tinggi," katanya.

Kenyataan itu turut menekankan komitmen kepimpinan TDM untuk memastikan institusi pertahanan negara itu terus diyakini dan dihormati rakyat.

TDM bertekad untuk mengekalkan amalan integriti dan profesionalisme yang tinggi demi keselamatan dan kedaulatan negara.