Dua kebakaran di Shah Alam, Kapar selang dua jam

3 Sep 2026, 1:20 AM
Dua kebakaran di Shah Alam, Kapar selang dua jam

SHAH ALAM, 3 SEPTEMBER: Dua kebakaran berasingan berlaku di Shah Alam dan Kapar awal pagi tadi, membabitkan gudang memproses sisa plastik serta kilang pemprosesan kayu.

Kejadian pertama berlaku di Jalan Bukit Kemuning Damai 32/151, Seksyen 32 selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada 10.59 malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata seramai 26 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Andalas, Bukit Jelutong dan Klang Utara dikerahkan ke lokasi bersama lapan jentera termasuk unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Kebakaran melibatkan dua gudang memproses sisa buangan plastik selain turut memusnahkan tiga forklift, sebuah lori dan dua mesin pemampat yang berada di dalam gudang berkenaan.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada 12.20 tengah malam sebelum kerja pemadaman mencapai 80 peratus kira-kira 1.15 pagi.

“Penilaian awal mendapati premis berkenaan tidak mempunyai sistem keselamatan kebakaran,” katanya.

Ketika operasi pemadaman di Shah Alam masih berlangsung, bomba menerima satu lagi panggilan kecemasan pada 1.04 pagi membabitkan sebuah kilang memproses kayu di Jalan Besar Kapar.

Ashrul Riezal berkata seramai 24 anggota daripada tujuh balai bomba terlibat dalam operasi berkenaan selain lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Rantau Panjang.

“Kebakaran melibatkan kilang seluas 1.6 hektar dengan anggaran 80 peratus kawasan terjejas.

“Operasi pemadaman bagaimanapun berdepan cabaran apabila tiada pili bomba di lokasi, menyebabkan anggota menggunakan lapan aliran pam daripada tangki jentera dengan bantuan lori tangki,” jelasnya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.