SEPANG, 2 SEPT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan tiada penambahan kuota tiket MADANI buat masa ini bagi perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), memandangkan kesemua 10,000 tiket yang diperuntukkan pada harga RM200 sekeping sudah habis terjual.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan penambahan kawasan menonton dalam masa terdekat.

"Setakat ini belum lagi ada penambahan dan setakat ini dah terjual habis semuanya. Untuk (tiket) MADANI khusus untuk rakyat Malaysia, sebanyak 10,000 tiket telah diperuntukkan dan kalau ada penambahan kita akan umumkan, tetapi setakat hari ini belum ada apa-apa penambahan.
"Anggaran kita adalah lebih daripada (110,000) penonton dengan kapasiti yang ada. Berkaitan tiket MADANI itu, kita cuba untuk ada penambahan dan mungkin kita buka tempat-tempat yang boleh kita pertimbangkan sebelum acara bermula," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran pendaftaran sukarelawan Rakan Muda sempena penganjuran F1 GP Bahrain di Malaysia di SIC di sini hari ini.
Mengulas mengenai inisiatif sukarelawan, Mohammed Taufiq memaklumkan seramai 500 sukarelawan akan digerakkan khusus bagi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung di SIC bermula 2 hingga 4 Okt.
Beliau menjelaskan bahawa selain Formula 1, seramai 500 lagi sukarelawan akan ditugaskan untuk perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di SIC dari 30 Okt hingga 1 Nov, menjadikan jumlah keseluruhan sukarelawan bagi kedua-dua acara besar tersebut seramai 1,000 orang setakat ini.
“Permohonan bagi sukarelawan telah mula dibuka pada hari ini secara dalam talian melalui platform Sistem MyProfil di bawah Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES),” katanya.
Antara syarat kelayakan yang ditetapkan termasuklah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan, berdisiplin serta memiliki kemahiran komunikasi yang baik, di mana kebolehan berbahasa asing merupakan satu kelebihan.
Sukarelawan yang terpilih akan ditempatkan di bawah seliaan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) melalui inisiatif Rakan Muda bagi tugasan perkhidmatan pelanggan, tiket dan kemasukan, perhubungan atau menyambut tetamu serta pengurusan kawasan MADANI.






