SHAH ALAM, 2 SEPT: Johan Setia merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pada paras 161 setakat jam 7.37 pagi ini, tertinggi di Selangor.
Lima lagi stesen pemantauan di negeri ini berada pada tahap sederhana dengan Shah Alam dan Banting masing-masing mencatat IPU 94, diikuti Klang (93), Kuala Selangor (80) dan Petaling Jaya (80).
Situasi lebih buruk direkodkan di Sarawak apabila tiga lokasi berada pada tahap berbahaya iaitu IPD Serian dengan bacaan IPU 322, Kuching (319) dan Samarahan (306).
Lima lagi kawasan di negeri itu berada pada tahap sangat tidak sihat, membabitkan Sibu dengan IPU 295, Sarikei (286), Mukah (242), Bintulu (228) dan Sri Aman (219).
Samalaju pula menghampiri tahap sangat tidak sihat apabila mencatat IPU 198, diikuti Kapit (187), ILP Miri (184), Miri (182) serta Limbang (173).
Di Sabah, Politeknik Kota Kinabalu mencatat IPU 184, Kota Kinabalu (178), Kimanis (174), Keningau (173), Sandakan (152) dan Tawau (130), semuanya pada tahap tidak sihat.
Labuan turut merekodkan IPU tidak sihat pada bacaan 181, manakala Putrajaya mencatat 135.
Di Negeri Sembilan, Nilai merekodkan IPU 134 dan Seremban 108, kedua-duanya berada pada tahap tidak sihat.
Sementara itu, bacaan tertinggi bagi kawasan yang masih berada pada tahap sederhana ialah Sungai Petani, Kedah dengan IPU 96, diikuti Shah Alam dan Banting masing-masing 94 serta Klang 93.
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala melebihi 300 dikategorikan berbahaya.
Semalam, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, manakala semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan apabila IPU melebihi 100.
Menurut beliau, NADMA akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana sekiranya IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam, selain Operasi Pembenihan Awan boleh dilaksanakan tertakluk kepada keadaan cuaca.
Katanya, kualiti udara negara merosot terutama di Sarawak, Sabah dan Labuan akibat pergerakan asap jerebu rentas sempadan.
Laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre turut mengesan ratusan titik panas terutama di Kalimantan dan Sumatera, dengan kepulan asap sederhana hingga tebal meliputi beberapa kawasan di Borneo.






