Sekolah, tadika, taska ditutup jika IPU lebih 200 - JAS

1 Sep 2026, 11:26 AM
Sekolah, tadika, taska ditutup jika IPU lebih 200 - JAS

SHAH ALAM, 1 SEP: Sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar Azuri Azizah Saedon berkata sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan peningkatan ke arah 200 persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan.

Selain itu, semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100 seperti termaktub di bawah

Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) yang menetapkan tindakan bersepadu antara agensi apabila keadaan jerebu bertambah buruk.

“Katanya, di bawah PTJK juga, NADMA akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.

“Selain itu, Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, kualiti udara dalam negara hari ini didapati merosot dengan beberapa kawasan khususnya di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, sangat tidak sihat dan berbahaya yang dipengaruhi oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

Katanya, berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, terdapat 261 titik panas dikesan di Kalimantan, Sumatera (63) dan masing-masing satu di Johor dan Sarawak.

“Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC semalam menunjukkan keadaan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN selatan, kecuali di bahagian tengah Semenanjung Malaysia, utara dan tengah Sumatera serta timur laut Borneo yang menerima hujan.

“Titik panas bertaburan hingga meluas dikesan di Kalimantan dan Sumatera, manakala beberapa titik panas dikesan di kawasan lain di rantau ASEAN selatan,” katanya.

Katanya, kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan meliputi Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Utara, Sabah, Sarawak, Brunei serta beberapa kawasan di Palawan, Filipina.

“Kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas di kawasan lain di Kalimantan serta bahagian selatan Sumatera.

“Beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Sarawak serta Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat hingga berbahaya dan keadaan keseluruhan titik panas dan jerebu di rantau ASEAN selatan tidak dapat ditentukan sepenuhnya berikutan litupan awan,” katanya.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana, 101 hingga 200 sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.