SHAH ALAM, 1 SEPT: Seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik di Taman Pancaran, Bestari Jaya, Kuala Selangor, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata siasatan mendapati mangsa yang berusia 15 tahun sedang berehat dalam permainan futsal dan dipercayai memegang tiang lampu sebelum rebah di kawasan itu, lapor Berita Harian.
“Mangsa memegang tiang lampu disyaki mempunyai arus elektrik hingga menyebabkannya rebah. Pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 10.32 malam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah laporan mati mengejut.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.







