KBS yakin Azizulhasni masih mampu gegar LA28

1 Sep 2026, 4:23 AM
KBS yakin Azizulhasni masih mampu gegar LA28

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin Datuk Azizulhasni Awang masih mampu mencabar pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), namun keyakinan sama turut diletakkan kepada semua atlet negara.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata sasaran menerusi program Road to Gold (RTG) perlu disertai keyakinan penuh terhadap kemampuan atlet untuk menamatkan penantian Malaysia terhadap emas Olimpik, lapor Berita Harian.

“Kita yakin dengan semua atlet kita. Apabila kita menetapkan sasaran, maka itu ada keyakinan. Tak guna kita ada program Road to Gold tapi kita tidak yakin.

“Tak guna kita ada pelbagai program yang kita laksanakan tapi jauh di sudut hati kita rasa tak boleh. Jadi yang penting, pertama yakin dulu,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat MSN berhubung Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan proses kelayakan LA28.

Taufiq bagaimanapun menegaskan keyakinan itu perlu disokong persiapan dan pelaksanaan menyeluruh, bukan sekadar harapan.

“Keyakinan itu tak boleh datang dengan hanya kata-kata dan mimpi sahaja. Ia mesti datang dengan pelaksanaan yang menyeluruh.

“Kalau tanya saya, saya tak nak satu atlet sahaja yang saya yakin kerana keyakinan dan harapan yang kita letak adalah untuk semua atlet,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata keputusan KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) meneruskan khidmat Azizulhasni bagi misi LA28 dibuat berdasarkan data dan fakta, bukan faktor emosi, walaupun pelumba itu bakal berusia 40 tahun ketika temasya berkenaan.

“Kita buat keputusan tidak berdasarkan emosi. Kita buat keputusan berdasarkan data dan fakta setelah mengambil pertimbangan.

“Jika ada kemungkinan berdasarkan data dan fakta, maka kita laksanakan perkara tersebut. Insya-Allah kita yakin. Kita mesti bergerak sebagai satu pasukan yang besar,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.