Selangor sasar pensijilan standard pengasuh dalam tempoh setahun

1 Sep 2026, 4:13 AM
Selangor sasar pensijilan standard pengasuh dalam tempoh setahun

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kerajaan Selangor menyasarkan untuk mewujudkan rangka kerja latihan dan pensijilan standard bagi pengasuh dalam tempoh setahun bagi meningkatkan kualiti serta keselamatan perkhidmatan dalam sektor penjagaan.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata ketika ini Malaysia masih belum mempunyai sistem pensijilan bersepadu di bawah satu badan yang diberi kuasa khusus untuk pengasuh.

“Kita masih mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memastikan pengasuh berdaftar dan menjalani latihan melalui satu badan yang diberi kuasa,” katanya seperti dilaporkan The Star.

Bagi menangani perkara itu, Anfaal berkata Kerajaan Negeri bekerjasama dengan organisasi bukan berasaskan keuntungan antarabangsa, The Asia Foundation, untuk menyemak modul latihan sedia ada serta mengenal pasti jurang kemahiran.

Menurutnya, ujian rintis akan dilaksanakan selepas modul berkenaan siap sepenuhnya sebelum Universiti Selangor (UNISEL) mengadaptasinya sebagai kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Apabila modul itu siap sepenuhnya, kita perlu menjalankan ujian rintis. Selepas itu, UNISEL akan mengadaptasi modul tersebut dan menawarkannya sebagai kursus TVET untuk pengasuh,” katanya.

Anfaal berkata walaupun 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor sudah mempunyai prosedur pelesenan yang diselaraskan untuk pusat penjagaan, peraturan yang dilaksanakan perlu menjaga aspek keselamatan tanpa terlalu membebankan pengusaha.

“Kita tidak mahu syarat yang ditetapkan terlalu ketat sehingga pengusaha merasakan urusan tadbir urus menjadi terlalu membebankan, tetapi pada masa sama sistem ini perlu terus ditambah baik,” katanya.

Menurutnya, perancangan itu akan diketengahkan dalam Selangor International Care Expo (SICE) yang berlangsung sempena Selangor International Business Summit (SIBS) 2026 dari 15 hingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

SICE tahun ini diperluas dalam format ekspo dengan memberi tumpuan kepada potensi komersial, demonstrasi praktikal serta peluang pelaburan dalam pelbagai peringkat kehidupan.

Antaranya penjagaan selepas bersalin, penjagaan kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), penuaan aktif serta penjagaan paliatif dan jangka panjang.

Kerajaan Negeri menyasarkan potensi pelaburan RM4.5 juta menerusi SICE, dua kali ganda berbanding RM2.25 juta yang direkodkan tahun lalu.

Ekspo selama tiga hari itu turut menyasarkan kehadiran 5,000 pengunjung, penyertaan 40 jenama serta 160 sesi padanan perniagaan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.