SHAH ALAM, 31 OGOS: Seorang suspek curi kabel yang memiliki 37 rekod jenayah lampau ditahan selepas dikejar polis kira-kira 30 minit dari Plaza Tol Awan Besar di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) hingga Sri Petaling, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata Peronda Lebuhraya Bukit Aman pada awalnya mengesan sebuah Ford Ranger dalam keadaan mencurigakan dinaiki dua individu di Lebuhraya KESAS.
Menurutnya, pihak polis kemudian mengarahkan kenderaan berkenaan berhenti untuk pemeriksaan, namun suspek terus memecut laju dan cuba melarikan diri.
“Suspek dikejar dari Plaza Tol Awan Besar arah Klang (Barat) sehingga ke Jalan Hang Tuah 4, Sri Petaling, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Fadil berkata satu das tembakan dilepaskan ke bahagian tayar kenderaan suspek ketika kejadian sebelum kenderaan itu berhenti seketika berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Besi selepas dikejar kira-kira 30 minit.
Bagaimanapun, suspek masih enggan memberikan kerjasama sebelum kembali memecut dan cuba melanggar anggota bertugas, menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan lagi ke arah tayar belakang kenderaan itu.
“Kenderaan suspek hanya berhenti di Jalan Hang Tuah 4 selepas Ford Ranger itu hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta Mazda,” katanya.
Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan manakala seorang lagi suspek lelaki yang juga pemandu berjaya melarikan diri.
Pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan pelbagai barang dan alatan bagi tujuan mencuri kabel serta sejumlah kabel disyaki dicuri.
Fadil berkata polis giat mengesan suspek yang melarikan diri manakala permohonan reman terhadap lelaki yang ditahan akan dibuat esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Semakan mendapati suspek ditahan mempunyai 37 rekod jenayah lampau dan berada dalam senarai ‘orang dikehendaki’.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, beberapa gambar dan video tular di media sosial memaparkan Ford Ranger berwarna hijau terbabas dan dikepung pihak berkuasa.







