Pulut Semangat 640 meter cipta rekod pertama, terpanjang di Asia

31 Ogos 2026, 5:54 AM
Pulut Semangat 640 meter cipta rekod pertama, terpanjang di Asia
Pulut Semangat 640 meter cipta rekod pertama, terpanjang di Asia
Pulut Semangat 640 meter cipta rekod pertama, terpanjang di Asia
Pulut Semangat 640 meter cipta rekod pertama, terpanjang di Asia

SUBANG JAYA, 31 OGOS: Pulut Semangat sepanjang 640 meter dihasilkan penggiat kulinari wanita Malaysia menerima pengiktirafan ASEAN Records dan ASIA Records hari ini, sekali gus diiktiraf sebagai Jejak Warisan Pulut Semangat pertama dan terpanjang di Asia.

Pengiktirafan ‘Jejak Warisan Pulut Semangat Pertama dan Terpanjang dengan Hiasan Bunga Sayuran Ukiran Tangan’ itu membabitkan kira-kira 120 peserta wanita dari seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak, Johor, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Menggunakan kira-kira 1,200 kilogram beras pulut, karya itu menampilkan pulut berwarna dengan permulaan disusun membentuk corak Jalur Gemilang, sebelum diikuti lapan baris pulut kuning sepanjang laluan berkenaan.

Lebih menarik, jejak warisan itu turut dihiasi corak bunga raya yang dihasilkan daripada pulut, selain hiasan bunga daripada sayur-sayuran yang diukir tangan.

Peserta sedang menyediakan Pulut Semangat Malaysia Terpanjang bagi mencipta rekod asia di Taman Universiti Indah, Subang Jaya pada 31 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Presiden Persatuan Chef Wanita Malaysia R Renukadevi berkata program itu sebagai simbolik semangat patriotisme dan perpaduan rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan, hari ini.

“Persiapan bermula pada 29 Ogos dengan kerja pembersihan dan mencuci beras, sebelum proses mengukus serta memasak dimulakan pada 30 Ogos.

“Pihak kami pada awalnya menyasarkan penghasilan sepanjang 500 meter, namun hasil kerjasama semua peserta, panjang Pulut Semangat yang berjaya dihasilkan mencecah 640 meter,” katanya ditemui hari ini.

Presiden Persatuan Chef Wanita Malaysia R. Renukadevi berucap selepas selesai penyediaan Pulut Semangat Malaysia Terpanjang bagi mencipta rekod asia di Taman Universiti Indah, Subang Jaya pada 31 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

ASEAN Records diperkenalkan sebagai platform pensijilan rekod bagi menghimpunkan pencapaian luar biasa di rantau Asia Tenggara, manakala ASIA Records memperluaskan skop pengiktirafannya ke seluruh benua Asia.

Program yang berlangsung di gelanggang bola keranjang Zhong Yuan Seri Kembangan di sini, turut dihadiri wakil rakyat Seri Kembangan Wong Siew Ki.

ADN Seri Kembangan Wong Siew Ki (tengah) turut sama menyediakan Pulut Semangat Malaysia Terpanjang bagi mencipta rekod asia di Taman Universiti Indah, Subang Jaya pada 31 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Chef Wanita Malaysia Fazalina Ismail berkata Pulut Semangat dipilih kerana makanan tradisional itu semakin ditinggalkan dan dilupakan, sekali gus mendorong pihaknya mengangkat semula warisan itu melalui penghasilan berskala besar.

Timbalan Presiden Persatuan Chef Wanita Malaysia Fazalina Ismail bercakap kepada media selepas acara Pulut Semangat Malaysia Terpanjang bagi mencipta rekod asia di Taman Universiti Indah, Subang Jaya pada 31 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sementara itu Siew Ki berkata program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada komuniti setempat untuk terlibat dalam aktiviti bersama, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim dan memperkukuh perpaduan masyarakat.

“Kerjasama antara persatuan, komuniti dan agensi dalam menjayakan program sedemikian membuktikan kepelbagaian latar belakang bukan halangan untuk masyarakat bersama-sama menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Bagi peserta, Masni Mahmud yang ditugaskan untuk mewarnakan dan memasak pulut, beliau teruja menyertai program itu yang menghimpunkan penggiat kulinari wanita daripada pelbagai kaum dan negeri.

Peserta Masni Mahmud bercakap kepada Media Selangor selepas acara Pulut Semangat Malaysia Terpanjang bagi mencipta rekod asia di Taman Universiti Indah, Subang Jaya pada 31 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Saya seronok dapat menyertai program ini kerana dapat bekerjasama dengan peserta daripada pelbagai kaum. Ia pengalaman yang sangat menarik,” katanya.

Bagi Noredawati Ismail, yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan ukiran tangan bagi hiasan menggunakan sayur-sayuran dan buah-buahan yang menghiasi laluan Pulut Semangat, penyertaan dalam program itu memberi pengalaman baharu untuknya selain peluang mengetengahkan kreativiti dalam seni ukiran makanan.

Peserta berusia 60 tahun, Yan Mui Choo, berkata beliau hadir bersama rakan dan teruja dapat menjadi sebahagian daripada program yang mengangkat warisan kulinari tempatan.

Peserta Yan Mui Choo bercakap kepada Media Selangor selepas acara Pulut Semangat Malaysia Terpanjang bagi mencipta rekod asia di Taman Universiti Indah, Subang Jaya pada 31 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Dalam masyarakat Cina, kebiasaannya pulut hanya disediakan dalam warna putih. Jadi saya teruja melihat pulut diwarnakan dengan pelbagai warna seperti kuning dan biru dalam program ini.

“Ini sesuatu yang menarik kerana kita dapat melihat kreativiti dalam menghasilkan pulut, selain berpeluang bersama-sama dengan peserta daripada pelbagai kaum,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.