SHAH ALAM, 30 OGOS: Dua penghuni yang melarikan diri dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil baru-baru ini berjaya ditangkap semula.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata kedua-dua lelaki terbabit ditahan secara berasingan pada Jumaat dan Sabtu.
“Kedua-duanya dibawa ke PUSPEN Dengkil semula dan dalam masa terdekat mereka akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan perundangan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Penahanan semula itu menyusul selepas hantaran mengenai kehilangan dua penghuni berkenaan tersebar di media sosial.
Hantaran berkenaan turut memaparkan gambar dua lelaki yang dipercayai penghuni PUSPEN Dengkil dan didakwa melarikan diri dari pusat pemulihan terbabit.
Menurut hantaran itu, kedua-dua individu berkenaan dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan curi jenis Nissan Frontier.
Kenderaan terbabit dilaporkan menggunakan nombor pendaftaran WMK 1809.
Susulan kejadian itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Mior Mohd Nor Azuan Alias dilaporkan berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.40 pagi pada Khamis.






