Empat penghuni PUSPEN Perlop lari sudah ditangkap semula, mesej tular palsu

30 Jul 2026, 2:22 AM
Empat penghuni PUSPEN Perlop lari sudah ditangkap semula, mesej tular palsu

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesahkan empat penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Perlop, Perak yang melarikan diri Jumaat lalu sudah ditangkap semula.

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata mereka ditahan di daerah Sungai Siput hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.

Susulan tangkapan itu, beliau menafikan mesej tular mendakwa penghuni terbabit berada di Bandar Baru Bangi, Selangor dan berbahaya kepada orang ramai sehingga menimbulkan keresahan penduduk di situ.

“Mesej tular itu palsu berikutan kesemua penghuni tersebut hanya melarikan diri dan berada di sekitar daerah Sungai Siput sebelum ditangkap semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata siasatan dalaman secara menyeluruh dijalankan serta-merta bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk meneliti sebarang unsur kecuaian atau ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau menegaskan AADK tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib dan undang-undang sekiranya wujud kecuaian dalam kalangan petugasnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan keresahan awam.

Beliau berkata tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang menyebarkan berita palsu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peruntukan undang-undang yang berkaitan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.