PUTRAJAYA, 28 OGOS: Dua daripada 57 rakyat Malaysia yang sebelum ini gagal dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal berjaya dikesan, manakala 55 lagi masih belum dapat dihubungi setakat jam 2.22 petang tadi.
Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata kedua-dua rakyat Malaysia itu berjaya dikesan, namun maklumat dan butiran mereka masih dalam proses semakan silang serta pengesahan lanjut.
“Daripada 57 orang, dua setakat ini dilaporkan selamat,” katanya hari ini.
Beliau berkata proses semakan silang penting bagi mengesahkan identiti, lokasi dan status sebenar kedua-dua individu itu, selain mengelakkan pertindihan maklumat dalam senarai rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi.
Syed Hasrin berkata angka 55 orang itu juga masih tertakluk kepada pengesahan lanjut berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Nepal dan agensi berkaitan.

Menurutnya, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengarahkan kementerian terus memantau operasi berkenaan dengan teliti serta mempergiat usaha mengesan baki rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
Susulan arahan itu, seorang pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dihantar ke Kathmandu bagi membantu memperkukuh operasi Kedutaan Besar Malaysia di Nepal.
“Pegawai itu membantu menyelaras maklumat, memantau perkembangan dan berhubung dengan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan,” katanya.
Syed Hasrin berkata Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan tindak balas kecemasan Kementerian Luar Nepal, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi berkaitan serta pengendali pelancongan bagi mendapatkan dan mengesahkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi.
Pihak berkuasa Nepal memaklumkan seramai 528 individu berjaya diselamatkan setakat ini, terdiri daripada 490 warga Nepal dan 38 warga asing.

Berdasarkan maklumat terkini diterima, tiada rakyat Malaysia dikenal pasti dalam kalangan mereka yang diselamatkan.
Terdahulu, media melaporkan banjir besar dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-China sejak Rabu, termasuk menjejaskan lintasan sempadan Pelabuhan Gyirong di Daerah Gyirong, China.
Bencana itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat serta runtuhan glasier di sepanjang Sungai Bhote Koshi, sekali gus menjejaskan rangkaian komunikasi dan memutuskan laluan darat utama ke Kathmandu.
“Keadaan ini menyukarkan akses ke kawasan terjejas, sekali gus menjejaskan usaha mencari dan menyelamat serta pengumpulan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang berada di kawasan berkenaan,” katanya.
Syed Hasrin berkata kementerian turut memantau amaran keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa Nepal berhubung risiko limpahan air dari kawasan sempadan.
Menurutnya, keadaan di kawasan terjejas masih mencabar dan tahap keselamatan boleh berubah dengan pantas, manakala operasi mencari dan menyelamat turut berdepan kekangan akibat cuaca serta kerosakan infrastruktur.
“Kita mengharapkan yang terbaik. Namun dalam keadaan seperti ini, ia agak sukar. Pihak berkuasa di sana juga sedang menguruskan rakyat mereka sendiri yang terjejas.
“Keadaannya serius, dengan jalan terputus, jambatan rosak dan sebagainya,” katanya.
Bilik Gerakan Kementerian Luar di Putrajaya kini beroperasi 24 jam bagi menyelaras maklumat, membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta menyalurkan perkembangan terkini kepada ahli keluarga.







