Buli di sekolah: Tiada ruang, jangan tolak ansur - PM

28 Ogos 2026, 11:03 AM
Buli di sekolah: Tiada ruang, jangan tolak ansur - PM

BUKIT MERTAJAM, 28 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata budaya buli tidak boleh diberikan ruang di sekolah kerana ia bertentangan dengan usaha kerajaan dalam membentuk generasi berilmu, beradab dan mempunyai akhlak yang baik.

Beliau berkata semua pihak termasuk pelajar dan guru perlu bersama-sama menolak amalan buli serta budaya menghina dan merendahkan orang lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap Program Sesi Temu Anwar sempena Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 28 Ogos 2026. Foto Facebook BERNAMA

“Sebab itu saya keras sekali, tiada tempat bagi sekolah-sekolah untuk kita melayan orang-orang yang sombong, yang buli kerana dia kuat sedikit, dia buli orang.

“Saya tahu di sekolah ada yang perangai macam itu. Saya nak bagi ingatan kepada anak-anak, guru-guru, pensyarah (supaya) jangan tolak ansur,” kata beliau ketika berucap pada Sesi Temu Anwar Bersama Pelajar bersempena dengan Program Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Anwar berkata sekiranya budaya seperti itu dibiarkan, ia boleh memberi kesan kepada pembentukan peribadi generasi muda serta masa depan negara.

Anwar berkata perbuatan membuli, menghina dan mencaci perlu dibendung sejak di bangku sekolah supaya budaya sedemikian tidak terbawa-bawa dalam kehidupan, termasuk apabila seseorang menjadi pemimpin kelak.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa kes buli yang hanya membabitkan segelintir pelajar tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melabel keseluruhan warga sekolah secara negatif.

“Kadang-kadang kita baca ini, ada 1,000 pelajar (dalam) satu sekolah dan yang teruk buli (itu) empat orang. Dalam media, cerita empat orang, tidak cerita yang lebih itu,” kata beliau.

Anwar berkata sekolah perlu membentuk budaya baharu berteraskan disiplin dan rasa hormat sesama manusia, selain menolak sebarang bentuk penghinaan serta perbuatan merendahkan orang lain, termasuk berdasarkan warna kulit.

Beliau berkata pendidikan bukan sekadar untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik, tetapi juga membentuk insan beradab dan berakhlak tinggi agar kemajuan negara bergerak seiring dengan nilai kemanusiaan.

Sementara itu, Perdana Menteri mengimbau keputusannya ketika menjadi Menteri Pelajaran, untuk memindahkan lokasi cadangan penubuhan sebuah maktab perguruan dari bahagian pulau ke Seberang Perai, yang kemudiannya berkembang menjadi IPG Kampus Tuanku Bainun seperti hari ini.

Beliau yang dalam lawatan rangka kerja dua hari di Pulau Pinang berkata ketika itu terdapat cadangan untuk mewujudkan sebuah maktab perguruan baharu di bahagian pulau, namun berpendapat Seberang Perai lebih memerlukan institusi berkenaan memandangkan Pulau Pinang ketika itu sudah mempunyai Universiti Sains Malaysia (USM) dan sebuah maktab perguruan.

“Maka semasa itulah saya putuskan, harus ada maktab perguruan di Seberang Perai. Kita cari tanah, kita dapat tanah di Bukit Mertajam, maka terbentuk, tertubuhlah maktab perguruan ini,” kata beliau.

Anwar menjadi Menteri Pelajaran pada 1987 hingga 1990.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk menyelenggara IPG Kampus Tuanku Bainun.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.