SHAH ALAM, 27 OGOS: Festival Sastera Kanak-Kanak Selangor 2026 bukan sekadar pesta buku, sebaliknya menawarkan ruang kepada kanak-kanak untuk membaca, bermain, bergerak, berimaginasi dan berkarya bersama keluarga.
Acara sulung anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu berlangsung hingga 31 Ogos di Selangor International Trade Centre dan Aneka Walk, SA Central dengan tema “Meraikan Setiap Cerita Kanak-Kanak”.
Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Muhamad berkata kanak-kanak memerlukan ruang untuk belajar dan berkembang secara seimbang, manakala ibu bapa pula memerlukan sokongan dalam menghadapi cabaran membesarkan anak.
“Setiap anak berhak mendapat kasih sayang tanpa syarat, perhatian dan peluang untuk mengenali dunia mereka sendiri.
“Kita perlu menyediakan ruang di mana anak-anak boleh membaca, bermain, berimaginasi dan meluangkan masa bermakna bersama keluarga,” katanya menerusi kenyataan.

Festival itu turut memberi tumpuan kepada pendidikan awal, kemahiran motor kasar dan halus serta perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak.
Ibu bapa khususnya golongan muda turut disediakan ilmu dan panduan bagi memahami perkembangan serta keperluan anak, termasuk mengurangkan kebergantungan terhadap gajet dan skrin.
Aspek keterangkuman pula diketengahkan menerusi Inclusive Literature Forum dan Hands-On Sensory Play yang membolehkan kanak-kanak berkeperluan khas meneroka, bermain dan berinteraksi bersama keluarga serta masyarakat.
Warisan tempatan turut diketengahkan melalui tema batik dan Pameran Cerita Rakyat dan Legenda Melayu yang menampilkan kisah antaranya Bawang Putih dan Bawang Merah, Si Tanggang Derhaka, Naga Tasik Chini serta Sang Kancil dan Buaya.
Lebih 185 program disediakan sepanjang festival dengan penyertaan lebih 100 pempamer terdiri daripada penerbit, penjual buku, penggiat industri kreatif, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.
Orang ramai juga berpeluang bertemu penulis, ilustrator dan personaliti termasuk Ustaz Adnin, Sumie Azil, Osman Deen dan Uncle NAI, selain mengikuti perkongsian tokoh tempatan serta penggiat industri buku dari China, India dan Singapura.
Pengunjung turut berpeluang memenangi wang tunai keseluruhan RM40,000 sepanjang empat hari penganjuran, dengan 20 pemenang setiap hari menerima RM500 seorang.








