SLICE perkukuh Selangor sebagai hab sastera, kandungan kreatif

8 Jul 2026, 1:00 PM
SLICE perkukuh Selangor sebagai hab sastera, kandungan kreatif
SLICE perkukuh Selangor sebagai hab sastera, kandungan kreatif
SLICE perkukuh Selangor sebagai hab sastera, kandungan kreatif
SLICE perkukuh Selangor sebagai hab sastera, kandungan kreatif
SLICE perkukuh Selangor sebagai hab sastera, kandungan kreatif

SHAH ALAM, 8 JULAI: Seminar Selangor Literature and Content Expression (SLICE) menjadi platform jangka panjang bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang sastera dan penerbitan, kata Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad.

Beliau berkata, penganjuran sulung seminar itu yang diadakan bersempena Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35 dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) menjadi permulaan kepada usaha lebih besar untuk meletakkan Selangor sebagai hab sastera dan kandungan kreatif.

Menurutnya, SLICE diwujudkan sebagai platform yang menghubungkan pakar industri dengan pemain sektor sastera menerusi perkongsian ilmu, kreativiti dan inovasi.

“Kami mahu SLICE menjadi platform kukuh yang menghubungkan sastera, kreativiti dan inovasi dengan pakar industri serta pemain dalam bidang sastera,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di Pustaka Raja Tun Uda di sini hari ini.

Antara pengisian utama seminar ialah forum mengenai program pengiktirafan UNESCO bagi pembangunan literasi selain perbincangan berhubung cabaran industri penerbitan dalam era kecerdasan buatan (AI).

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad berucap ketika Program Selangor Literature and Content Expression (SLICE) di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 8 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Mastura berkata penyertaan ratusan delegasi dari seluruh dunia membuktikan kepentingan menghimpunkan komuniti penerbitan global di Malaysia bagi berkongsi pengalaman dan pandangan.

Beliau turut menegaskan komitmen PPAS dalam memastikan akses kepada ilmu pengetahuan dan budaya membaca dapat dinikmati masyarakat menerusi rangkaian perpustakaan di seluruh Selangor.

“Dengan sokongan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Kerajaan Negeri, kami berusaha memastikan ilmu pengetahuan dan budaya membaca dapat diakses masyarakat di seluruh Selangor dan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan semua peserta SLICE terus membina jaringan yang bermakna melalui dunia sastera selain mengamalkan nilai murni dalam setiap interaksi.

Menurutnya, tindakan mudah seperti memberikan layanan mesra, berbual secara ikhlas atau meluangkan masa untuk mendengar mampu membuatkan seseorang berasa dihargai dan dihormati.

PPAS kini menguruskan 105 perpustakaan awam di seluruh Selangor termasuk perpustakaan bergerak dan perpustakaan mesra transit bagi memperluas akses masyarakat kepada bahan bacaan serta peluang pembelajaran.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.