Kebebasan manusia menurut Islam

28 Ogos 2026, 8:00 AM
Kebebasan manusia menurut Islam

Dalam Islam, kebebasan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan konsep tauhid. Apabila seseorang benar-benar mengakui bahawa hanya Allah Tuhan yang berhak disembah, maka manusia tidak lagi sepatutnya tunduk secara mutlak kepada manusia lain. Allah berfirman:

“Tiada paksaan dalam agama.” (Surah al-Baqarah, 2:256)

Ayat ini memberi gambaran iman tidak boleh dibina melalui paksaan. Keimanan mempunyai nilai apabila ia lahir daripada kesedaran dan pilihan manusia.

Islam mengiktiraf manusia sebagai makhluk yang mempunyai kehendak dan pertimbangan. Sebab itu dakwah Nabi Muhammad SAW tidak dibina atas paksaan. Baginda menyampaikan kebenaran, memberikan penjelasan dan mengajak manusia berfikir.

Tetapi kebebasan dalam Islam bukan bermaksud manusia boleh melakukan apa sahaja tanpa batas. Kebebasan mempunyai tanggungjawab. Seseorang bebas memilih, tetapi pilihan tersebut mempunyai akibat.

Seseorang bebas bersuara, tetapi tidak bermakna dia bebas menzalimi orang lain. Seseorang bebas mengkritik pemerintah, tetapi tidak bermakna dia bebas memfitnah dan merosakkan maruah manusia. 

Dengan kata lain, Islam membebaskan manusia daripada perhambaan, tetapi tidak membebaskan manusia daripada tanggungjawab moral.

Membebaskan manusia  

Jika kita membaca sirah Nabi Muhammad SAW, kita akan menemukan bahawa perjuangan Rasulullah bukan sekadar membina sebuah kerajaan.

Baginda membawa satu perubahan besar terhadap cara manusia melihat manusia.

Masyarakat Arab ketika itu mempunyai struktur sosial yang kuat berdasarkan kabilah, keturunan dan kedudukan. Orang yang kuat mempunyai pengaruh.

Orang yang lemah mudah dizalimi. Hamba dianggap sebagai manusia kelas bawahan. Anak perempuan pernah dibunuh kerana dianggap membawa kehinaan.

Dalam keadaan tersebut, Nabi Muhammad SAW membawa mesej bahawa kemuliaan manusia bukan ditentukan oleh keturunan, warna kulit atau kekayaan. Allah berfirman:

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (Surah al-Hujurat, 49:13)

Ayat ini meruntuhkan kesombongan berdasarkan keturunan dan bangsa. Manusia tidak boleh menjadikan asal-usulnya sebagai alasan untuk merendahkan manusia lain.

Dalam khutbah terakhir Rasulullah SAW, Baginda juga menegaskan bahawa tidak ada kelebihan orang Arab atas orang bukan Arab, dan tidak ada kelebihan orang bukan Arab atas orang Arab kecuali dengan ketakwaan.

Inilah antara makna kebebasan yang sangat besar dalam Islam: manusia dibebaskan daripada hierarki palsu yang menjadikan sesetengah manusia berasa dirinya lebih tinggi daripada manusia lain.

Kisah Bilal bin Rabah adalah antara contoh paling indah tentang bagaimana Islam mengubah makna kemuliaan manusia. Bilal seorang hamba berkulit hitam.

Beliau diseksa kerana memeluk Islam. Di tengah panasnya padang pasir, tubuhnya ditindih dengan batu besar. Tetapi lidahnya terus menyebut: Ahad.. Ahad.. “Yang Esa, Yang Esa.”

Bilal tidak mempunyai kuasa. Tidak mempunyai kekayaan. Tidak mempunyai keturunan bangsawan. Tetapi beliau mempunyai sesuatu yang tidak mampu dirampas oleh tuannya: kebebasan jiwa. Islam akhirnya mengangkat Bilal ke kedudukan yang luar biasa. Beliau menjadi muazin Rasulullah SAW. 

Bayangkan perubahan tersebut. Orang yang dahulu dianggap hamba akhirnya berdiri di tempat yang tinggi, melaungkan azan yang didengari oleh manusia yang pernah hidup dalam masyarakat yang membezakan manusia berdasarkan keturunan dan status. 

Itulah revolusi Islam. Islam tidak bertanya, “Daripada keluarga mana kamu?” Islam bertanya, “Siapakah kamu di sisi Allah?”

Keadilan terhadap manusia

Kita juga dapat melihat makna kebebasan dalam pemerintahan Umar bin al-Khattab. Umar bukan sekadar seorang pemerintah yang kuat. Beliau memahami bahawa kekuasaan bukan lesen untuk manusia menindas manusia lain.

Antara ungkapan yang sering dinukilkan dalam sejarah ialah: “Sejak bila kamu memperhambakan manusia, sedangkan ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan merdeka?”

Walaupun ungkapan ini datang dalam riwayat sejarah dengan pelbagai lafaz dan konteks, semangatnya menggambarkan satu prinsip besar dalam pemerintahan Islam: kuasa manusia tidak boleh berubah menjadi perhambaan manusia.

Seorang pemerintah bukan pemilik rakyat. Rakyat bukan hamba pemerintah. Kerajaan bukan tempat manusia memuaskan nafsu kekuasaan. Kekuasaan adalah amanah. Allah berfirman:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil.” (Surah al-Nisa’, 4:58)

Maka, kemerdekaan sesebuah negara tidak akan sempurna sekiranya rakyat masih takut kepada kezaliman, undang-undang tidak ditegakkan dengan adil, atau kuasa digunakan untuk kepentingan segelintir manusia.

Pertahan kebebasan

Hari ini kita menikmati banyak bentuk kebebasan yang mungkin tidak pernah dinikmati oleh generasi terdahulu. Kita boleh belajar, bekerja, bersuara, berpersatuan dan memilih pemimpin melalui proses demokrasi.

Namun, kebebasan tidak akan kekal dengan sendirinya. Kebebasan perlu dipertahankan dengan ilmu. Tanpa ilmu, manusia mudah diperhamba oleh propaganda.  Kebebasan perlu dipertahankan dengan keberanian.

Tanpa keberanian, manusia mungkin mengetahui kezaliman tetapi memilih untuk berdiam diri. Kebebasan juga perlu dipertahankan dengan akhlak. Tanpa akhlak, kebebasan boleh berubah menjadi kebiadapan.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan.” (Ibn Majah: 2340)

Prinsip ini sangat penting. Kebebasan seseorang mempunyai sempadan apabila ia mula menzalimi kebebasan dan hak manusia lain.

Dalam Islam, kemerdekaan yang paling tinggi bukanlah apabila manusia bebas melakukan segala yang diingininya.

Kemerdekaan yang paling tinggi ialah apabila manusia mampu berkata tidak kepada kezaliman, mampu berkata tidak kepada perhambaan, dan akhirnya mampu berdiri teguh di hadapan manusia kerana hatinya telah menyerahkan seluruh kehambaannya hanya kepada Allah.

Itulah kemerdekaan yang sebenar. Merdeka tubuhnya. Merdeka fikirannya. Merdeka maruahnya. Dan merdeka jiwanya.

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.