Mayat lelaki ditemukan dalam ruang tayar pesawat di KLIA2

27 Ogos 2026, 11:35 AM
Mayat lelaki ditemukan dalam ruang tayar pesawat di KLIA2

SHAH ALAM, 27 OGOS: Mayat seorang lelaki berusia lingkungan 17 hingga 25 tahun ditemukan dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat dari Tokyo, Jepun selepas pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), Sepang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata Balai Polis KLIA2 menerima maklumat mengenai penemuan itu daripada pusat kawalan operasi lapangan kira-kira jam 7 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan di ruang simpanan tayar sebelah kanan pesawat menemukan mayat lelaki dalam keadaan meniarap.

“Hasil pemeriksaan badan si mati tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri dan badan si mati dalam keadaan decomposed (mereput),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata usia mangsa dianggarkan antara 17 hingga 25 tahun berdasarkan keadaan fizikal.

Mangsa memakai baju hud putih dengan gambar naga pada bahagian belakang dan tulisan ‘Oakley’ di bahagian hadapan.

“Si mati memakai seluar jeans warna biru muda, tali pinggang kulit berwarna coklat, berstokin dan berkasut sukan berwarna hitam.

“Tiada sebarang kecederaan pada badan si mati. Mayat telah dibawa ke jabatan forensik sebuah hospital untuk proses bedah siasat,” katanya.

Difahamkan, mayat itu ditemukan kakitangan kejuruteraan kira-kira jam 6.55 pagi ketika membuka ruang simpanan tayar selepas terhidu bau busuk dari bahagian berkenaan.

Polis menjalankan siasatan mengikut prosedur kematian mengejut (SDR) bagi mengenal pasti identiti serta punca kematian mangsa.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak benar.

Individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA menerusi talian 03-8776 8222.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.