Banjir Nepal: 17 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi, operasi udara digerakkan

27 Ogos 2026, 4:26 AM
Banjir Nepal: 17 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi, operasi udara digerakkan

SHAH ALAM, 27 OGOS: Helikopter dan dron digerakkan bagi mengesan 17 rakyat Malaysia yang terputus hubungan selepas banjir dahsyat memutuskan akses darat ke kawasan berhampiran Timure, dekat sempadan Nepal-China.

Kumpulan pelancong itu kali terakhir berjaya dihubungi ketika dalam perjalanan menghampiri kawasan berkenaan yang terletak di daerah Rasuwa, Nepal.

Wakil agensi pelancongan Fishtail Tours & Travels, Roshan Panday berkata seorang kakitangannya sempat menghubungi seorang anggota kumpulan berkenaan pada jam 8.18 pagi waktu tempatan (10.18 pagi waktu Malaysia).

Menurutnya, kesemua 17 rakyat Malaysia terbabit masih bergerak bersama menggunakan enam kenderaan ketika komunikasi terakhir dilakukan.

“Mereka bergerak bersama dalam satu kumpulan. Sebanyak enam kereta tetapi semuanya bersama,” katanya seperti dilapor New Straits Times.

Roshan berkata usaha mengesan kumpulan itu berdepan kesukaran susulan kerosakan teruk pada rangkaian jalan raya akibat banjir.

“Tiada akses jalan raya kerana semuanya dihanyutkan,” katanya.

Justeru, sebuah helikopter dihantar ke kawasan berkenaan semalam, selain dron digunakan bagi membantu pencarian di lokasi yang sukar dimasuki.

“Kami sudah menghantar helikopter, selain menggunakan dron dan segala kaedah yang ada,” katanya.

Beliau berkata kerja membina semula jalan raya di kawasan terjejas dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.

Keadaan itu menyebabkan akses udara menjadi kaedah utama untuk sampai ke kawasan terbabit buat masa ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.