SHAH ALAM, 26 OGOS: Dua individu yang sebelum ini dilaporkan tidak dapat dihubungi sejak beberapa hari lalu ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di Semenyih, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata polis menerima laporan mengenai penemuan kedua-dua mangsa pada jam 3.54 petang di kawasan tempat letak kenderaan awam berhadapan sebuah pasar raya di Vista Valley.
Menurut beliau, mangsa ialah lelaki tempatan berusia 48 tahun dan wanita tempatan berusia 43 tahun yang merupakan kenalan.
“Kedua-dua mangsa ditemukan di bahagian tempat duduk hadapan sebuah Hyundai Atos berwarna hijau.
“Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada kesan umpilan pada kenderaan serta tiada kecederaan atau tanda unsur jenayah yang jelas pada kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata siasatan mendapati kedua-dua mangsa dilaporkan tidak dapat dihubungi dan tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari sebelum ditemukan.
“Bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa dijalankan di Unit Forensik Hospital Kajang hari ini," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata punca kematian masih belum dapat ditentukan dan masih menunggu keputusan pemeriksaan makmal.
"Setakat ini, polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan siasatan lanjut masih dijalankan sementara menunggu keputusan pemeriksaan makmal.
"Kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.
Naazron meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muaz Mazlan di talian 017-978 8804 bagi membantu siasatan.







