Kawalan pintu masuk diperketat, ketirisan berjaya dibendung - KPN

26 Ogos 2026, 12:25 PM
Kawalan pintu masuk diperketat, ketirisan berjaya dibendung - KPN

PASIR MAS, 26 OGOS: Tindakan memperketat kawalan di pintu masuk negara sejak kebelakangan ini memberi kesan positif dalam usaha membendung ketirisan dan kegiatan yang melanggar undang-undang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail.

Beliau berkata PDRM sentiasa membantu agensi berkaitan, termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam bagi memastikan ketirisan serta kebocoran bukan sahaja di sempadan malah di pintu masuk negara dapat dicegah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail bercakap pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke pangkalan haram Lubok Gong di Pasir Mas, Kelantan, pada 26 Ogos 2026. Foto BERNAMA

“Setakat ini, arahan yang saya terima daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah untuk membantu agensi berkaitan supaya kita dapat memastikan perkara berkenaan dapat kita kekang,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja di pangkalan haram Lubok Gong, Rantau Panjang di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata kerjasama antara agensi di bawah KDN penting bagi memastikan penugasan berkaitan kawalan pintu masuk negara dapat dilaksanakan secara bersepadu.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalid berkata PDRM masih menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung penahanan seorang lelaki Malaysia yang dikaitkan dengan vape.

“Kita masih belum dapat laporan penuh, jadi saya akan menunggu laporan daripada pihak sana,” katanya.

Hari ini media melaporkan seorang rakyat Malaysia ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar rokok peranti elektronik atau vape mengandungi dadah di Medan, Indonesia, minggu lepas.

Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan bersama teman wanitanya berusia 35 tahun yang juga warga Indonesia.

Menurut laporan Antara News, pasangan berkenaan ditahan bersama 29 vape mengandungi cecair dadah.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.