Skim Rondaan Sukarela bantu Desa Melor kekal sifar jenayah

26 Ogos 2026, 6:43 AM
Skim Rondaan Sukarela bantu Desa Melor kekal sifar jenayah

SHAH ALAM, 26 OGOS: Penglibatan aktif penduduk dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) membantu Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Melor, Serendah mengekalkan indeks jenayah pada kadar sifar.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata komitmen penduduk dalam rondaan dan aktiviti keselamatan komuniti menjadi faktor penting kepada pencapaian itu, lapor Sinar Harian.

“Keselamatan dan kesejahteraan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, sebaliknya perlu dipikul secara bersama oleh masyarakat melalui kerjasama, kesedaran dan penglibatan aktif semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Komuniti Selamat (OSCAR) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kempen ‘1 Keluarga, 1 Anggota SRS: Misi Anggota SRS Teramai Daerah Hulu Selangor’ di Pos KRT Desa Melor, Serendah.

Pada program itu, KRT Desa Melor menerima Sijil Pengiktirafan Anggota SRS Teramai Daerah Hulu Selangor serta Anugerah KRT Terbaik Promosi SRS 2026.

Setiausaha KRT Desa Melor, Mohd Kamal Hashim berkata seramai 200 penduduk mendaftar sebagai anggota SRS dalam tempoh dua bulan, sekali gus melepasi sasaran awal 100 orang.

“Kita tidak mahu hanya mengejar anugerah, tetapi mahu membina sebuah komuniti yang benar-benar hidup, bersatu, selamat, prihatin dan saling membantu,” katanya.

Beliau berkata penglibatan pesara polis dan tentera turut memperkukuh SRS menerusi pengalaman, disiplin dan kepakaran dalam aspek keselamatan komuniti.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.