SHAH ALAM, 12 APRIL: Polis mempergiat rondaan di perairan Pulau Ketam bagi mengekang jenayah termasuk penyeludupan serta memperkukuh keselamatan kawasan pesisir.
Pejabat Polis Daerah Klang Selatan memaklumkan operasi dijalankan anggota Balai Polis Pulau Ketam menggunakan Bot PAC 494 dengan kekuatan empat anggota.
"Rondaan diketuai Sarjan Mohd Suhaime Abdul Sukor bersama tiga anggota lain, meliputi pemantauan aktif di kawasan pesisir bagi meningkatkan kehadiran polis dan mencegah kegiatan jenayah.
"Selain itu, pemeriksaan turut dilakukan bagi memastikan aset operasi sentiasa berada dalam keadaan siap siaga," menurut kenyataan di Facebook.
Polis juga mengadakan libat urus bersama komuniti setempat, khususnya pengusaha sangkar ikan, bagi memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan.
Operasi berkenaan berjalan lancar dan menerima maklum balas positif daripada penduduk, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap kehadiran polis di kawasan tersebut.









