KUALA LUMPUR, 7 NOV: Palestin berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan Malaysia melalui projek dan program konkrit bagi menyokong pembangunan serta ekonomi negara itu ke arah merealisasikan pembentukan sebuah negara Palestin, kata Penasihat Perdana Menteri Palestin bagi Hubungan Antarabangsa Dr Izzat Abdel Hadi.
Beliau berkata Malaysia mampu memainkan peranan yang lebih besar dalam memperkukuh institusi dan ekonomi Palestin menerusi kerjasama teknikal dan pelaburan, selain memanfaatkan kepakarannya dalam pelbagai sektor untuk menyumbang kepada usaha pembinaan kapasiti, khususnya dalam bidang seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur komuniti.
"Malaysia juga boleh membantu menerusi sokongan kemanusiaan, terutamanya di Gaza, termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur komuniti," katanya dalam program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk “Palestine Beyond The Headlines: Rebuilding Under Occupation”, baru-baru ini.
Beliau turut menekankan potensi kerjasama ekonomi yang lebih erat, termasuk dalam sektor halal, yang boleh membuka peluang bagi kedua-dua negara.
Sementara itu, Abdel Hadi berkata kedudukan Malaysia dalam ASEAN dan masyarakat antarabangsa dapat membantu menyuarakan kebimbangan Palestin dengan lebih lantang serta mengukuhkan sokongan diplomatik terhadap hak dan pembentukan negara Palestin.
"Pada peringkat diplomatik, saya fikir kita juga boleh memanfaatkan keanggotaan Malaysia dalam ASEAN dan pengaruh diplomatik mereka dalam ASEAN serta forum antarabangsa lain untuk menyokong hak rakyat Palestin dan pembentukan sebuah negara Palestin, selain mempromosikan undang-undang antarabangsa," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas solidariti Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap Palestin, termasuk sokongan berterusan yang dizahirkan oleh kepimpinan dan rakyatnya.







