Pengajar GiatMARA maut, dua anak cedera kenderaan bertembung lori

25 Ogos 2026, 9:21 AM
Pengajar GiatMARA maut, dua anak cedera kenderaan bertembung lori

KOTA BELUD: Seorang tenaga pengajar GiatMARA maut, manakala dua anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori di Jalan Kota Belud - Tuaran berhampiran Taman Nikmat, Kota Belud, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.05 pagi itu, mangsa, Norasida Mayur, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tersepit di tempat duduk pemandu, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 42 tahun dalam perjalanan dari Kota Belud menuju Tuaran.

Katanya, Perodua Alza dipandu mangsa bersama tiga anaknya berusia 15 dan 18 tahun datang dari arah bertentangan.

"Setibanya di lokasi kejadian, Perodua Alza dipercayai memasuki laluan lori sebelum kedua-dua kenderaan bertembung," katanya.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut.

"Dua anak mangsa dibawa ke Hospital Kota Belud untuk menerima rawatan, manakala seorang lagi berusia 17 tahun tidak cedera.

"Pemandu lori juga tidak mengalami kecederaan dan ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Khairul Shah berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.