Selangor sasar juara Para SUKMA 2026, julang kejayaan buat kali pertama

25 Ogos 2026, 2:00 AM
Selangor sasar juara Para SUKMA 2026, julang kejayaan buat kali pertama
Selangor sasar juara Para SUKMA 2026, julang kejayaan buat kali pertama
Selangor sasar juara Para SUKMA 2026, julang kejayaan buat kali pertama
Selangor sasar juara Para SUKMA 2026, julang kejayaan buat kali pertama

SHAH ALAM, 25 OGOS: Selepas dinobat juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 malam tadi, perhatian Kerajaan Negeri terus beralih kepada atlet Para SUKMA yang bakal berentap mulai 5 September ini.

EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata kejayaan meraih gelaran juara sukan terbesar itu bakal menjadi penaik semangat untuk barisan atlet kelainan upaya (OKU) menjulang kejayaan buat kali pertama.

“Kita akan fokus kepada Para SUKMA kerana sasaran kita, kalau SUKMA jadi juara keseluruhan, kita juga mahu Para SUKMA jadi juara. Ini cabaran saya kepada atlet para.

“Majlis Sukan Negeri akan melipatgandakan gerak kerja dan juga latihan semua atlet. Insya-Allah kita harapkan prestasi atlet kita seiring atlet SUKMA. Segala kemudahan dan fasiliti yang digunakan untuk SUKMA, akan diberi kepada mereka,” katanya selepas majlis penutup SUKMA 2026 malam tadi.

Para SUKMA yang bermula 5 hingga 10 September melibatkan 369 acara dengan mempertandingkan 10 jenis sukan iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.

Sementara itu, Mohd Najwan berkata latihan para atlet akan diteruskan bagi memastikan prestasi atlet sentiasa pada tahap terbaik sekali gus mampu mempertahankan kejuaraan SUKMA 2028 di Kelantan.

“Lepas ini kita susuli dengan program pembangunan untuk persiapkan atlet menghadapi SUKMA ke-23. Pencapaian 101 pingat emas kali ini bukanlah sesuatu yang biasa. Ini digit yang sangat baik dan insya-Allah kita cuba kekalkan dan buat persiapan seberapa segera,” katanya.

Malam tadi, Selangor dinobat juara temasya SUKMA 2026 selepas 11 hari berentap dalam persaingan sengit merebut 368 pingat emas.

Kejayaan itu menyaksikan Selangor merangkul kejuaraan keseluruhan buat kali ke-10 selepas mengumpul 245 pingat merangkumi 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Diikuti Wilayah Persekutuan dengan 51 emas, perak (54), gangsa (52) manakala Terengganu di tempat ketiga dengan pungutan pingat emas (43), perak (44) dan gangsa (36).

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.