PETALING JAYA, 25 OGOS: Tiga fungsi utama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan terus diperkukuh bagi memastikan agensi berkenaan kekal sebagai pemacu pembangunan industri perfileman negara.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ia melibatkan pembangunan industri menerusi dasar, dana, insentif, bakat, kemudahan dan jaringan antarabangsa.
"Kedua, melaksanakan pelesenan dan penguatkuasaan secara tegas tapi memudahkan cara. Dan ketiga, memelihara warisan perfileman negara melalui penerbitan rasmi kerajaan serta pengurusan arkib filem dan dokumentari negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Menara FINAS di Damansara Damai, di sini semalam.
Selain itu katanya kelulusan pindaan Akta FINAS di Parlimen tahun lalu menjadi perkembangan penting dalam memastikan peranan agensi itu kekal selari dengan perubahan lanskap industri.
"Selepas pindaan pada 1984 dan 2013, pindaan terbaharu ini memperluas skop FINAS agar lebih sesuai dengan perubahan cara kandungan dihasilkan, diedarkan dan ditonton, termasuk perkembangan perkhidmatan atas permintaan dan platform digital.
"Namun begitu, pindaan undang-undang bukanlah matlamat maklumat akhir. Yang lebih utama ialah bagaimana kuasa dan tanggungjawab tersebut diguna untuk membina industri yang lebih terancang," katanya.
Justeru, katanya Dasar Filem Negara 2026-2035 menggariskan empat teras utama iaitu memperkukuh ekosistem kandungan filem dan televisyen.
Selain itu, menjadikan Malaysia hab produksi dan animasi pilihan utama, memperkukuh profesionalisme serta kerjaya dan memperkukuh hak cipta serta pengewangan kandungan.
Dalam pada itu, ujarnya peningkatan kutipan filem menerusi Skim Wajib Tayang menunjukkan keyakinan penonton terhadap karya tempatan terus berkembang.
Fahmi berkata, kutipan meningkat daripada RM125 juta pada 2024 kepada RM253 juta pada 2025, manakala bagi 2026, kutipan setakat 10 Ogos ialah RM111.83 juta.
"Penonton Malaysia mempunyai keyakinan terhadap karya tempatan apabila kita tawarkan kandungan yang berkualiti, kompetitif dan dekat di hati mereka," katanya.
Katanya, jumlah penonton filem tempatan turut meningkat daripada 7.14 juta pada 2024 kepada 14.83 juta pada 2025, manakala 2026 merekodkan lebih enam juta penonton setakat Julai.
Terdahulu, Fahmi bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan perasmian Menara FINAS yang menjadi lokasi baharu operasi agensi berkenaan.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac.
Ujar Fahmi, menara baharu itu bukan sekadar bangunan pentadbiran, malah menghimpunkan kemudahan bertaraf dunia termasuk dua studio soundstage, pawagam digital, ruang latihan, muzium filem dan pusat simpanan lebih 81,000 bahan arkib audiovisual negara.
Pengerusi FINAS, Dato’ Dr Hans Isaac ketika ditemui berkata, operasi FINAS di lokasi baharu lebih memberi tumpuan kepada aspek pengurusan, manakala FINAS Hulu Klang akan terus dikembangkan sebagai pusat kecemerlangan industri.
Menurut beliau, kemudahan sedia ada akan dimanfaatkan bagi membantu penggiat industri tempatan termasuk dari aspek latihan, program persatuan serta produksi tempatan dan antarabangsa.
"Studio di FINAS Hulu Klang adalah bertaraf antarabangsa, banyak produksi luar datang. Kami akan naik taraf selepas selesaikan bangunan baru ini. Harap membantu industri kita supaya aset-aset yang ada mereka gunakan, " katanya.






