PPMM gesa Selangor kurangkan beban perniagaan, permudah pelaksanaan dasar RS-2

25 Ogos 2026, 1:00 AM
PPMM gesa Selangor kurangkan beban perniagaan, permudah pelaksanaan dasar RS-2

SHAH ALAM, 24 OGOS: Persatuan Pengilang Makanan Malaysia (PPMM) menggesa Kerajaan Negeri supaya tidak menambah beban perniagaan dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi Selangor, termasuk menerusi perubahan dasar yang kerap atau kenaikan yuran lesen.

Presidennya, Ding Hong Sing berkata kerajaan perlu mengambil kira realiti semasa yang dihadapi pemain industri serta mengurangkan beban pentadbiran yang tidak perlu ketika melaksanakan sesuatu dasar.

“Kami berharap kerajaan dapat mengambil kira keadaan sebenar perniagaan dan mengurangkan beban pentadbiran yang tidak perlu,” katanya dalam temu bual bersama Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 7 Ogos lalu.

Hong Sing menyifatkan hala tuju yang digariskan menerusi RS-2 sebagai sasaran yang baik dan percaya pelaksanaannya mampu memperkukuh daya saing Selangor sekiranya disokong dasar serta urusan pentadbiran yang lebih mesra perniagaan.

Fahami masalah pengilang sebelum ambil tindakan

Bagaimanapun, beliau berharap Kerajaan Negeri terlebih dahulu memahami dan membantu menyelesaikan masalah dihadapi kilang atau perniagaan sebelum mengenakan kompaun atau mengambil tindakan penguatkuasaan.

“Semasa menjalankan penguatkuasaan, kerajaan juga boleh memahami kesukaran sebenar yang dihadapi pengilang dan memberikan bimbingan serta ruang penambahbaikan, bukannya menjadikan hukuman sebagai kaedah utama,” katanya.

Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri, penyederhanaan prosedur pentadbiran serta sokongan lebih praktikal kepada perusahaan mampu membantu memastikan RS-2 dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Pada masa sama, pendekatan itu diyakini dapat meningkatkan keyakinan pelabur serta menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing ke Selangor.

Bantu PKS beralih kepada digitalisasi

Hong Sing turut berpandangan Kerajaan Negeri perlu memperluas bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan penggunaan teknologi, digitalisasi dan automasi.

Katanya, kebanyakan PKS masih beroperasi pada skala kecil dan berdepan kekangan kewangan untuk melakukan transformasi berkenaan.

“Ramai PKS mahu berubah, tetapi skala perniagaan mereka masih kecil dan tidak mempunyai modal mencukupi. Untuk meningkatkan automasi dan keupayaan digital, mereka memerlukan sokongan kewangan,” katanya.

“Kerajaan boleh membantu melalui peruntukan dana, latihan dan sokongan teknikal bagi membolehkan PKS bertransformasi secara berperingkat.”

Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan tenaga kerja mahir bagi menyokong peningkatan industri, termasuk mempergiat latihan supaya bekalan tenaga kerja selari dengan keperluan industri masa hadapan.

Terdahulu, Amirudin membentangkan RS-2 di Dewan Negeri Selangor pada 7 Ogos lalu dengan lima industri teras dikenal pasti sebagai enjin utama ekonomi menjelang 2030 iaitu elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, automotif, ekonomi digital dan ekonomi kreatif.

RS-2 turut menyasarkan pertumbuhan ekonomi Selangor sebanyak 6.1 peratus, pelaburan keseluruhan RM330 bilion serta pengurangan kadar pengangguran kepada 2.2 peratus menjelang 2030.

Selepas dibahaskan 40 wakil rakyat daripada kedua-dua blok, Dewan Negeri Selangor meluluskan RS-2 sebulat suara pada 13 Ogos lalu sebagai dokumen dasar pembangunan negeri bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.