SHAH ALAM, 17 FEB: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Dato Zainul Rijal Abu Bakar untuk mendengar lebih lanjut pandangan pihaknya mengenai cadangan penyelesaian isu pencerobohan tanah dan pembinaan rumah ibadat tanpa izin.
Pertemuan diatur susulan pandangan awal peguam syarie itu selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor minggu lalu.
“Saya telah menghubungi beliau dengan niat untuk mengajak berjumpa dan berbincang. Alhamdulillah, pada petang tadi kami telah bertemu dan berbincang,” kata Amirudin menerusi Facebook malam ini.
Amirudin menyifatkan perbincangan mereka santai tetapi penuh input dan bermanfaat.
"Saya sangat meraikan semua pandangan ke arah menjamin sebuah penyelesaian yang tuntas,” tambahnya.
Dalam pada itu, Amirudin sekali lagi menyuarakan keyakinan bahawa isu yang dihadapi sekarang boleh diselesaikan dengan baik melalui percambahan idea yang terbuka, matang, dan membina.
“Saya rakamkan penghargaan atas kesudian pihak Dato Zainul Rijal dan pasukan beliau dari PPMM untuk berjumpa meskipun ketika waktu cuti umum,” katanya.

Sementara itu, Zainul Rijal dalam satu hantaran berasingan di Facebook menghargai keterbukaan Dato’ Menteri Besar itu mendengar kritikan dan cadangan.
“Beliau terbuka dengan kritikan saya dan mendengar dengan penuh perhatian solusi yang diberikan. Moga permasalahan ini dapat diselesaikan,” katanya.
MKN Negeri Selangor dalam mesyuarat 12 Februari lalu menetapkan beberapa langkah yang perlu diambil pemilik tanah jika berlaku pencerobohan dan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan.
Antara langkah itu pemilik perlu membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dan seterusnya proses pendakwaan dimulakan sekiranya kesalahan pencerobohan dapat dibuktikan.
Notis perlu dihantar kepada pihak penceroboh dan perkara terbabit dimaklumkan secara rasmi kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dengan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) dipengerusikan Pegawai Daerah juga diaktifkan di semua daerah di Selangor.
"JKD akan bertindak sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak berkepentingan termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, PDRM dan PBT bagi mencari penyelesaian yang munasabah.
"Sekiranya usaha itu tidak mencapai kata sepakat, JKD akan menasihatkan pemilik tanah untuk meneruskan tindakan melalui proses mahkamah.
"Pendekatan itu diambil bagi memastikan setiap tindakan membabitkan pihak berkuasa serta mengelakkan sebarang insiden yang boleh mencetuskan ketegangan atau rusuhan daripada berlaku," kata Amirudin dalam kenyataan selepas mesyuarat.
Beliau turut mengingatkan semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkait tanah.










