Golongan 31 hingga 59 tahun paling ramai terlibat penyalahgunaan dadah

24 Ogos 2026, 8:09 AM
Golongan 31 hingga 59 tahun paling ramai terlibat penyalahgunaan dadah

KUALA BERANG, 24 OGOS: Golongan berusia 31 hingga 59 tahun mencatatkan jumlah tertinggi dalam statistik penyalahgunaan dadah di negara ini apabila sebanyak 92,590 orang atau 71.1 peratus direkodkan terlibat dalam tempoh Januari hingga Jun lepas, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh.

Beliau berkata kumpulan berusia 15 hingga 30 tahun pula mencatatkan 34,471 orang atau 26.5 peratus dalam tempoh sama, manakala golongan berusia 60 tahun ke atas merekodkan 3,229 orang atau 2.5 peratus.

Statistik itu menunjukkan penyalahgunaan dadah masih melibatkan pelbagai peringkat umur, termasuk individu berusia hingga 63 tahun.

“Rekod AADK turut menunjukkan terdapat individu berusia hingga 63 tahun yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Bagi kumpulan umur 15 hingga 30 tahun, sebanyak 34,471 orang atau 26.5 peratus direkodkan hingga Jun tahun ini berbanding 37,494 orang atau 27.8 peratus pada tahun lepas.

“Golongan bawah 14 tahun pula masing-masing mencatatkan 17 orang pada tahun ini berbanding 14 orang tahun lepas,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Pengubahsuaian Pejabat AADK Hulu Terengganu di Ajil di sini hari ini.

Ruslin berkata bagi golongan berusia 60 tahun ke atas, jumlah penyalahgunaan dadah menurun kepada 3,229 orang atau 2.5 peratus tahun ini berbanding 4,311 orang atau 3.2 peratus pada tahun lepas.

Beliau berkata majoriti penyalahgunaan dadah dalam kalangan kelompok berusia 31 hingga 59 tahun dan 15 hingga 30 tahun melibatkan dadah sintetik, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

Sementara itu, Ruslin berkata AADK mengalu-alukan kerjasama syarikat swasta dalam usaha membincangkan langkah menangani masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja menerusi Program Tempat Kerja Bebas Dadah.

Beliau berkata AADK bersama agensi penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak membezakan golongan profesional atau bukan profesional dalam tindakan berkaitan penyalahgunaan dadah kerana mana-mana individu berisiko terdedah kepada masalah berkenaan.

"Antara cadangan yang akan dibincangkan ialah pelaksanaan ujian air kencing secara berkala atau secara rawak sebagai langkah saringan.

"Sudah banyak syarikat swasta melaksanakan program ini, manakala sebahagian lagi masih dalam proses untuk bekerjasama dengan AADK," katanya.

Sementara itu, Ruslin berkata projek pembelian premis dan AADK Daerah Hulu Terengganu bernilai RM3.46 juta kini siap sepenuhnya, sekali gus menyediakan kemudahan lebih lengkap bagi memperkukuh operasi dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Beliau berkata AADK membeli empat unit bangunan kedai pada 2022 sebelum kerja pengubahsuaian dilaksanakan untuk dijadikan pejabat AADK Daerah Hulu Terengganu.

“Antara kemudahan yang disediakan ialah lokap lelaki dan wanita, bilik pemeriksaan, bilik taklimat, bilik konsultasi serta bilik saringan air kencing.

“Sebelum ini, daerah Hulu Terengganu tidak mempunyai kemudahan lokap khusus untuk lelaki dan wanita. Sekiranya terdapat tangkapan membabitkan wanita, mereka perlu dihantar ke lokasi lain,” katanya.

Beliau berkata pejabat berkenaan turut berfungsi sebagai Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, yang membolehkan klien di bawah perintah mahkamah menjalani program pemulihan secara berkala.

“Dengan adanya pejabat ini, ia melengkapkan keseluruhan operasi AADK di daerah Hulu Terengganu, sekali gus membolehkan perkhidmatan kepada masyarakat dilaksanakan lebih berkesan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.