Wisma Putra pantau insiden keselamatan selatan Thailand, rakyat Malaysia diminta waspada

23 Ogos 2026, 2:00 PM
Wisma Putra pantau insiden keselamatan selatan Thailand, rakyat Malaysia diminta waspada

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) sedang memantau rapat situasi keselamatan susulan beberapa insiden yang dilaporkan berlaku di wilayah sempadan selatan Thailand, malam semalam.

Menurut kenyataan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, insiden keselamatan berkenaan melibatkan wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat.

Pasukan keselamatan tempatan dilaporkan mempertingkat kawalan serta langkah keselamatan di kawasan terjejas, termasuk melaksanakan perintah berkurung sementara.

“Setakat ini tiada laporan mengenai mana-mana warganegara Malaysia yang terjejas akibat insiden-insiden tersebut,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla turut berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi memantau perkembangan serta memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan berkenaan.

Warganegara Malaysia yang menetap, melakukan perjalanan atau berhasrat keluar dan masuk ke wilayah sempadan selatan Thailand dinasihatkan supaya lebih berwaspada, kekal peka serta mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan.

Mereka juga digesa mendaftar dan mengemas kini maklumat perjalanan menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi serta penyaluran bantuan konsular sekiranya diperlukan.

Bagi bantuan kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok menerusi talian +66 2 340 5720 atau talian pegawai bertugas +66 87 028 4659.

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla pula boleh dihubungi menerusi talian kecemasan +66 74 316 274 atau +66 81 990 1930.

Wisma Putra memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi dan menyalurkan maklumat terkini sekiranya diperlukan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.