SHAH ALAM, 23 OGOS: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Temerloh yang dipatuk ular tedung selar ketika melakukan demonstrasi pengendalian reptilia semalam disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.
Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.50 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Pengarah APM Pahang Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata jenazah Allahyarham akan diuruskan dan disembahyangkan di Masjid Kampung Bukit Kelulut.
Menurutnya, jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut dengan urusan pengebumian dijangka dilaksanakan pagi ini, lapor Berita Harian.
Difahamkan, Allahyarham masih bujang dan mempunyai seorang kakak.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi semalam, Muhamad Muazam Shah dipatuk ular tedung selar pada bahagian jari tengah tangan kanan ketika melakukan demonstrasi pengendalian ular di Dewan Taman Temerloh Jaya.
Ketika kejadian, APM Daerah Temerloh dijemput menyertai Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan mengadakan demonstrasi pengendalian ular kepada peserta program berkenaan.
Che Adam berkata selepas dipatuk, anggota itu keluar dari dewan untuk mencuci tangannya sebelum tiba-tiba pitam di luar dewan.
Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan HoSHAS untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum ditempatkan di Zon Merah di bawah pemantauan doktor.
Keadaan Muhamad Muazam Shah terus dipantau sebelum beliau disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 pagi tadi.






