GOMBAK, 22 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan perlu menjadi ruang untuk masyarakat mengingati pengorbanan generasi terdahulu selain menyedari tanggungjawab bersama dalam menjaga negara.
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata penghayatan kemerdekaan juga perlu disertai usaha membina negara berlandaskan iman dan akhlak.
“Bila kita menyambut Hari Kemerdekaan, sudah pasti kita perlu ingatkan diri kita di mana kita, apakah pengorbanan orang sebelum ini dan apakah nasib kita di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Karnival Sambutan Maulidurrasul & Semarak Merdeka di Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak di sini, hari ini.
Amirudin berkata masyarakat perlu memastikan sambutan kemerdekaan tidak sekadar menjadi acara tahunan, sebaliknya diterjemahkan melalui tanggungjawab untuk membentuk kehidupan lebih baik.
“Moga sambutan kemerdekaan ini mengingatkan kepada kita bahawa ada tanggungjawab dan tugas untuk menjaga negara kita bersama-sama, mendudukkan negara kita dengan iman dan akhlak yang betul,” katanya.
Karnival anjuran Masjid Al-Khairiyah itu berlangsung selama dua hari mulai 21 hingga 22 Ogos dengan pelbagai pengisian termasuk ceramah, aktiviti mewarna, e-sukan, pameran dan perkhidmatan pelbagai agensi kepada komuniti setempat.







