Mahu lancar rondaan sukarela? Tubuh rukun tetangga terlebih dahulu

22 Ogos 2026, 3:00 AM
Mahu lancar rondaan sukarela? Tubuh rukun tetangga terlebih dahulu
Mahu lancar rondaan sukarela? Tubuh rukun tetangga terlebih dahulu
Mahu lancar rondaan sukarela? Tubuh rukun tetangga terlebih dahulu

HULU SELANGOR, 22 Ogos: Penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu menjadi langkah pertama buat penduduk yang berhasrat melancarkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi meningkatkan tahap keselamatan di perumahan masing-masing.

 Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Selangor, Burhanuddin Daud menegaskan, syarat itu wajib dipatuhi kerana kelulusan penubuhan SRS berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah KRT.

Beliau menjelaskan, kewujudan KRT amat penting sebagai platform asas sebelum SRS dapat berfungsi membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah di peringkat akar umbi.

Pengarah Perpaduan Negeri Selangor, Burhanuddin Daud berucap pada Kempen 1 Keluarga, 1 Anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Pos KRT Desa Melor Serendah, Hulu Selangor pada 21 Ogos 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Untuk tubuhkan SRS kena ada KRT dulu sebab kelulusan di bawah Ketua Pengarah KRT. Jadi saya menyeru kepada semua penduduk khususnya di Selangor, wujudkan KRT di tempat anda.

"Walaupun ada kawasan perumahan yang sudah mempunyai Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau persatuan penduduk, pertambahan entiti seperti ini memberi lebih banyak manfaat kepada komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Kempen 1 Keluarga, 1 Anggota SRS di Pos KRT Desa Melor, Serendah di sini semalam.

Burhanuddin turut mengingatkan masyarakat supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada polis, sebaliknya memupuk kesedaran bahawa keselamatan kejiranan adalah tanggungjawab bersama.

Demonstrasi keselamatan sempena Kempen 1 Keluarga, 1 Anggota SRS di Pos KRT Desa Melor, Serendah pada 21 Ogos 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Manfaat & Insentif Anggota SRS

Penyertaan aktif dalam SRS menawarkan pelbagai kelebihan perlindungan kebajikan kepada ahlinya;

Perlindungan Insurans: Perlindungan kemalangan sehingga RM40,000 sepanjang menjalankan tugas rondaan.

Khairat Kematian: Sumbangan RM2,000 sekiranya berlaku kematian.

Pelepasan Kerja (*Time Off*): Kemudahan pelepasan kerja sekurang-kurangnya empat jam pada keesokan harinya bagi pekerja sektor awam dan swasta (dengan kelulusan majikan).

Menurutnya, kawalan keselamatan yang konsisten secara tidak langsung menakutkan penjenayah sekali gus membantu menekan kadar indeks jenayah kawasan setempat.

KRT Desa Melor model kejayaan

Sementara itu, Pengerusi KRT Desa Melor, Mohamad Hadis Tamyis meluahkan rasa bangga atas kejayaan premisnya merangkul anugerah keahlian SRS tertinggi yang kini mencecah kira-kira 200 anggota pelbagai lapisan umur.

Bagi mengekalkan momentum tersebut, beliau berhasrat menarik lebih ramai penglibatan golongan muda sebagai pelapis, di samping merancang kerjasama dengan JPNIN Daerah Hulu Selangor bagi menyediakan latihan kemahiran rondaan.

Pengerusi KRT Desa Melor Mohamad Hadis Tamyis bercakap pada Media Selangor selepas Kempen 1 Keluarga, 1 Anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Pos KRT Desa Melor Serendah, Hulu Selangor pada 21 Ogos 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor, Senior Asisten Komisioner Polis Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memuji komitmen tinggi penduduk Desa Melor yang berjaya mencatatkan indeks jenayah pada kadar sifar.

Melihat kepada impak positif berkenaan, pihak polis kini dalam perbincangan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk meluaskan model rondaan komuniti itu ke kawasan perumahan lain.

 

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.