RS-2 masuk fasa pelaksanaan, 98 projek dan program digerakkan

21 Ogos 2026, 1:00 PM
RS-2 masuk fasa pelaksanaan, 98 projek dan program digerakkan

SHAH ALAM, 21 OGOS: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) kini beralih daripada peringkat perancangan kepada pelaksanaan dengan pegawai daerah dan agensi negeri mula diberi taklimat mengenai peranan masing-masing dalam menjayakan pelan pembangunan lima tahun itu, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Taklimat berkenaan merupakan sesi rasmi pertama membabitkan pegawai daerah dan agensi yang terlibat dalam pelaksanaan RS-2 selepas fasa perancangannya selesai.

“Sebelum ini, taklimat lebih tertumpu kepada perancangan tetapi sekarang perancangan sudah selesai. Jadi, tiba masanya untuk mereka melaksanakan sasaran dan menjalankan tugas pada peringkat lebih mikro,” katanya kepada media selepas Majlis Peluncuran RS-2 dan sesi libat urus bersama editor media di Hotel Concorde hari ini.

Amirudin berkata RS-2 kekal fleksibel dan akan dikaji semula dalam tempoh dua tahun bagi mengambil kira dapatan baharu, perubahan struktur serta program atau projek tambahan.

Menurutnya, pengalaman melaksanakan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menunjukkan beberapa aspek perlu diperkukuh termasuk pemantauan, mempercepat pelaksanaan projek di peringkat akar umbi dan menambah baik mekanisme pembiayaan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata Selangor mencapai 79 peratus daripada keseluruhan sasaran RS-1, berbanding sasaran ditetapkan sebanyak 80 peratus.

Ditanya mengenai baki 21 peratus yang belum dicapai, Amirudin berkata Kerajaan Negeri mengambil iktibar daripada pelaksanaan RS-1 untuk menambah baik penyampaian RS-2.

Semakan pada 2024 juga membolehkan Kerajaan Negeri menilai semula dan menyesuaikan beberapa sasaran berdasarkan keadaan semasa.

Bagi RS-2, katanya, Kerajaan Negeri sedang berunding dengan beberapa institusi bagi memudahkan pembiayaan projek.

Pada masa sama, Selangor turut melihat melangkaui petunjuk ekonomi konvensional termasuk kadar kemiskinan dengan membangunkan indeks bagi mengukur taraf kehidupan yang wajar dan bermaruah di negeri ini.

“Kita sekarang sedang cuba mewujudkan satu indeks — indeks kehidupan bermaruah atau ekonomi bermaruah seperti yang saya sebut di Dewan Negeri Selangor,” katanya.

Amirudin berkata dapatan menerusi indeks berkenaan akan membantu Kerajaan Negeri menyesuaikan bentuk bantuan berdasarkan keperluan setiap daerah memandangkan keadaan ekonomi berbeza di seluruh Selangor.

“Tidak boleh lagi hanya ada satu petunjuk untuk seluruh negeri kerana negeri kita pelbagai, permintaannya tinggi dan setiap kawasan mempunyai kerumitan tersendiri,” katanya.

RS-2 yang diluluskan Dewan Negeri Selangor pada Khamis lalu (13 Ogos) dibangunkan menerusi kerjasama pelbagai pihak, bukan sahaja Kerajaan Negeri tetapi turut membabitkan pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta.

Amirudin berkata hanya 98 program dan projek dimasukkan dalam RS-2 selepas Kerajaan Negeri menilai kebolehlaksanaan setiap cadangan.

Sementara itu, mengulas perkembangan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung di Selangor, Amirudin berkata penganjuran temasya berkenaan setakat ini berjalan lancar dengan aduan daripada kontinjen berkaitan aspek teknikal, penginapan dan makanan berada pada tahap minimum.

Menurutnya, rasa tidak puas hati dalam sesuatu temasya sukan tidak dapat dielakkan, namun aduan berkaitan aspek teknikal pertandingan berjaya dikurangkan dengan ketara berbanding edisi terdahulu.

“Kita dapati aduan membabitkan aspek teknikal pertandingan dapat ditangani dengan lebih pantas berbanding edisi sebelum ini,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.