Jerebu: IPD Serian catat IPU sangat tidak sihat, 591 sekolah di Sarawak tutup

21 Ogos 2026, 12:29 AM
Jerebu: IPD Serian catat IPU sangat tidak sihat,  591 sekolah di Sarawak tutup

SHAH ALAM, 21 OGOS: IPD Serian, Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 241 pada tahap sangat tidak sihat setakat jam 8.30 pagi ini susulan keadaan jerebu yang semakin memburuk.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), lapan lagi kawasan di Sarawak mencatatkan tahap tidak sihat.

Sri Aman merekodkan IPU 189, diikuti Kuching (186), Samarahan (179), Sarikei (173), Sibu (156), Bintulu (154), Samalaju (145) dan Kapit (129).

Secara keseluruhan, sebanyak 55 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala hanya empat kawasan berada pada tahap baik.

Empat kawasan berkenaan ialah Tanjung Malim, Perak; Temerloh, Pahang; Kangar, Perlis dan Langkawi, Kedah.

Berikutan kualiti udara yang semakin merosot akibat jerebu rentas sempadan, sebanyak 591 sekolah di bawah seliaan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak ditutup hari ini.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam kenyataan semalam memaklumkan penutupan itu membabitkan 509 sekolah rendah dengan keseluruhan 107,590 murid serta 82 sekolah menengah melibatkan 89,733 pelajar.

Sekolah terbabit berada di bawah seliaan PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu dan Betong.

Mengikut kategori IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan berbahaya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.