Selangor pertahan pingat emas futsal SUKMA

20 Ogos 2026, 2:53 PM
Selangor pertahan pingat emas futsal SUKMA

SHAH ALAM, 20 OGOS: Selangor mempertahankan pingat emas futsal lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 selepas menewaskan Pulau Pinang 4-1 pada aksi final di Kompleks Belia dan Sukan, Seksyen 21, di sini, malam ini.

Final yang berlangsung dalam suasana cukup hangat itu turut menyaksikan aksi terpaksa dihentikan selepas kira-kira 10 minit permainan susulan isu keselamatan.

Kehadiran luar biasa peminat tempatan, khususnya penyokong Selangor yang membanjiri kompleks berkenaan, menyebabkan jumlah penonton dipercayai melebihi kapasiti ditetapkan.

Keadaan itu memaksa pihak keselamatan mengambil tindakan bagi memastikan aspek keselamatan penonton dan pemain terjamin sebelum perlawanan dapat diteruskan.

Selepas 15 minit terhenti, permainan bersambung semula dengan kedua-dua pasukan saling menyerang bagi mencari gol pendahuluan.

Namun, penyokong Selangor tergamam apabila Pulau Pinang berjaya menjaringkan gol dua minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Ketinggalan 0-1 tidak mematahkan semangat Selangor apabila skuad tuan rumah bangkit pada babak kedua dengan memperkemaskan corak permainan.

Tekanan demi tekanan akhirnya membuahkan hasil apabila Selangor berjaya menyamakan kedudukan hanya dua minit selepas babak kedua bermula.

Berbaki lapan minit permainan, Fitri Hakim meledak gol kedua Selangor untuk membolehkan skuad tuan rumah mendahului 2-1.

Belum sempat Pulau Pinang menyusun semula permainan, mereka dihukum sekali lagi dua minit kemudian apabila Fitri Hakim sekali lagi menemui sasaran untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Pulau Pinang cuba bangkit selepas itu, namun usaha mereka gagal membuahkan hasil, sebaliknya Selangor terus menambah derita lawan apabila Fitri Hakim melengkapkan hatrik untuk gol keempat Selangor.

Kejayaan itu menyaksikan Selangor sekali lagi bergelar juara futsal lelaki SUKMA, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi lalu.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.