
KLANG, 20 OGOS: Atlet Selangor perlu lebih fokus dan bekerja keras bagi memastikan kedudukan teratas di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 terus kekal.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini kutipan pingat emas dikumpul kontinjen Selangor masih di landasan dan optimis mencapai sasaran ditetapkan.
“Sudah pasti ada yang kita terlepas tetapi ada beberapa bonus yang telah kita capai. Kita masih dalam track untuk capai sasaran secara keseluruhan.
“Tetapi persaingan masih sengit seperti Terengganu, Johor dan Sarawak masih mengekori kita. Harus bekerja keras dan saya minta semua kontinjen beri fokus untuk capai kejayaan,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyaksikan perlawanan muay thai antara Selangor dan Terengganu di KSL Esplanade Mall hari ini.
Setakat jam 6 petang ini, Selangor terus kekal di kedudukan teratas dengan 36 pingat emas, 40 pingat perak dan 28 gangsa.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak penyiar untuk siaran langsung perlawanan akhir bola sepak.
“Kita akan bincang untuk perlawanan akhir bola sepak…tetapi perlu minta pihak penyiar seperti TV3 dan RTM. Kalau dapat acara seperti bola sepak yang ditunggu boleh kita buat untuk siaran langsung,” katanya.











