SHAH ALAM, 20 OGOS: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 112 warga asing dalam empat operasi penguatkuasaan di sekitar Kajang baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Selangor (Kawalan), Mohamad Khusairi Kamarudin berkata operasi menerusi Ops Belanja, Ops Minyak, Ops Mahir dan Ops Selera itu melibatkan 20 pegawai penguat kuasa.
Katanya, operasi dijalankan bagi memeriksa dan memantau premis yang dipercayai melakukan kesalahan imigresen membabitkan warga asing.
“Dalam operasi berkenaan, seramai 112 warga asing diperiksa dan kesemuanya ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kesemua mereka dibawa ke pejabat imigresen bagi siasatan lanjut sebelum tindakan susulan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Khusairi berkata 112 warga asing yang ditahan terdiri daripada 87 warga Bangladesh, 13 warga Indonesia, tujuh warga Pakistan dan lima warga Myanmar.
Beliau berkata antara kesalahan yang dikesan ialah masuk atau berada di Malaysia tanpa pas, permit atau dokumen perjalanan yang sah, mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Selain itu, terdapat kesalahan tinggal di Malaysia melebihi tempoh atau selepas tamat tempoh pas atau permit yang dibenarkan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Turut dikesan kesalahan menyalahgunakan pas di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.








