
SHAH ALAM, 20 OGOS: Gandingan dua atlet muda Selangor, Muhamad Haziq Muizzudin Mohd Asri dan Muhamad Arfa Zikry Muhamad berjaya meraih pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.
Dua atlet berkenaan mengumpul 305.28 mata untuk menamatkan saingan di tempat kedua selepas melalui persaingan sengit dengan gandingan atlet Sarawak, Jared Aiden Anak Harold dan Elvis Priestley.
Haziq Muizzudin dan Arfa Zikry ketinggalan 25.23 mata di belakang Sarawak yang menduduki tempat pertama.
Persaingan sengit antara kedua-dua gandingan berlangsung sepanjang saingan sebelum pasangan Selangor akhirnya mengesahkan mengutip pingat perak.
Pingat tersebut menyumbang satu lagi koleksi pingat buat kontinjen Selangor menerusi acara terjun pada SUKMA Selangor 2026.








