Prasarana perkasa kemudahan OKU, komuniti bantu tambah baik kemudahan LRT3

19 Ogos 2026, 12:15 PM
Prasarana perkasa kemudahan OKU, komuniti bantu tambah baik kemudahan LRT3
Prasarana perkasa kemudahan OKU, komuniti bantu tambah baik kemudahan LRT3
Prasarana perkasa kemudahan OKU, komuniti bantu tambah baik kemudahan LRT3
Prasarana perkasa kemudahan OKU, komuniti bantu tambah baik kemudahan LRT3
Prasarana perkasa kemudahan OKU, komuniti bantu tambah baik kemudahan LRT3

PETALING JAYA, 19 OGOS: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) terus memperkasa kemudahan orang kurang upaya (OKU) menerusi penambahbaikan aksesibiliti serta kerjasama dengan komuniti berkenaan.

Ketua Bahagian Jaminan Kualiti Laluan Shah Alam Noor Aqilah Ahmad Tajedi berkata usaha itu termasuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai kemudahan mesra OKU yang disediakan di rangkaian pengangkutan awam kendalian Prasarana.

“Sesi tinjauan bersama Persatuan OKU Sentral (OKU Sentral) di Laluan Shah Alam hari ini memberi peluang kepada wakil komuniti OKU melihat dan merasai sendiri kemudahan serta fasiliti yang disediakan.

“Prasana amat menghargai pandangan dan maklum balas komuniti OKU bagi membantu mengenal pasti ruang penambahbaikan selain memastikan kemudahan yang disediakan mengambil kira keperluan semua pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Tinjauan Media bersama OKU Sentral di Stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Damansara Idaman, di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi menghargai Prasarana melibatkan komuniti OKU dalam sesi tinjauan berkenaan.

Beliau berkata kemudahan seperti tandas mengikut spesifikasi OKU serta lif yang luas bagi pengguna kerusi roda dilihat membantu memudahkan pergerakan golongan berkenaan.

“Bagaimanapun, kami mencadangkan pihak Prasarana untuk menyediakan lebih banyak van dilengkapi lif di bahagian belakang serta kerusi khas yang boleh berpusing arah luar pintu (swivel seat) bagi memudahkan pergerakan pengguna OKU khususnya golongan Cerebral Palsy (CP).

Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral Datuk Ras Adiba Radzi bercakap kepada media selepas sesi tinjauan media bersama OKU Sentral di Stesen Damansara Idaman, Petaling Jaya pada 19 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Selain itu, papan tanda dan tindakan denda perlu diperjelas di kawasan parkir khas OKU bagi mengelakkan ruang berkenaan disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab,” ujar beliau.

Pada masa sama, Ras Adiba menggalakkan golongan OKU mendapatkan Pas Rapid Mesra yang menawarkan perjalanan percuma tanpa had menerusi perkhidmatan rel, bas dan van Rapid On-Demand kendalian Prasarana di Lembah Klang tertakluk kepada terma dan syarat.

Beliau turut menyeru komuniti OKU memanfaatkan kemudahan dan perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan bagi memudahkan urusan harian mereka.

Inisiatif itu sekali gus dapat memastikan perkhidmatan pengangkutan awam lebih inklusif dan mudah diakses khususnya bagi komuniti OKU.

Laluan dan operasi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya hingga Johan Setia, Klang mula dibuka kepada orang ramai pada 29 Julai lalu yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laluan sepanjang 37.8 kilometer (km) itu menghubungkan Johan Setia, Klang dengan Bandar Utama, Petaling Jaya sekali gus menjadi laluan rel terbaharu yang memperluaskan pilihan pengangkutan awam kepada komuniti di koridor barat Lembah Klang.

Presiden Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral Datuk Ras Adiba Radzi merasai sendiri menaiki LRT3 dengan kemudahan yang disediakan untuk golongan OKU ketika sesi tinjauan media bersama OKU Sentral di Stesen Damansara Idaman, Petaling Jaya pada 19 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.