PUTRAJAYA, 19 OGOS: Dakwaan kononnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan kewarganegaraan secara borong kepada warga asing, dan 1.2 juta rakyat China tidak keluar dari Malaysia adalah tidak benar.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau telah menafikan dakwaan berkenaan berkali-kali, namun masih ada pihak yang sengaja mengitar semula video, poster dan naratif berkenaan perkara itu.
“Saya telah menafikan dakwaan ini berkali-kali sebelum ini. Malah, saya sendiri telah memberikan penjelasan berdasarkan fakta dan data rasmi.
“Namun, masih ada pihak yang sengaja mengitar semula video, poster dan naratif yang telah diperbetul semata-mata untuk mengelirukan rakyat serta meniup sentimen perkauman dan kebencian,” katanya dalam hantaran di laman sosial hari ini.
Saifuddin Nasution berkata dakwaan berkenaan telah dijelaskan secara rasmi, dan fakta mengenainya boleh dirujuk melalui kenyataan serta laporan media sebelum ini.
“Penyebaran fitnah seperti ini bukan sekadar mencemarkan nama individu atau institusi. Lebih membimbangkan, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara, mencetuskan kebencian antara kaum, mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan keselamatan negara,” katanya.
Beliau mengingatkan semua pihak supaya menghentikan penyebaran fitnah dan tidak memperalatkan isu-isu sensitif demi kepentingan politik atau meraih perhatian menerusi media sosial.
“Saya juga menyeru agar rakyat menyemak kesahihan sesuatu maklumat daripada sumber rasmi sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
“Jadilah pengguna media sosial yang bertanggungjawab. Fakta tetap fakta. Data tetap data. Jangan biarkan fitnah mengatasi kebenaran,” katanya.
Tular beberapa poster kononnya KDN meluluskan kewarganegaraan secara borong yang diulang siar dalam media sosial.







