
SUBANG JAYA, 18 OGOS: Pasukan kabaddi wanita Selangor menebus kekecewaan dua tahun lalu di Sarawak apabila meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium MBSJ, Serdang Jaya petang tadi.
Kejayaan itu diraih selepas Selangor menewaskan Wilayah Persekutuan 34-33 dalam aksi final sengit yang menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing rapat sehingga tamat perlawanan.
Pada aksi berkenaan, Selangor mempamerkan permainan bertenaga dengan tidak memberi ruang mudah kepada lawan untuk mengutip mata, manakala penyokong kedua-dua pasukan menambah kehangatan suasana dengan saling berbalas sorakan.
Pemain Selangor A Thurgasri paling mencuri tumpuan apabila menyumbang mata demi mata bagi membantu pasukan mendahului perlawanan.
Bagaimanapun, Wilayah Persekutuan bangkit pada babak kedua dan berjaya merapatkan jurang mata sebelum Selangor bertahan untuk mengesahkan kemenangan tipis 34-33 sekali gus merangkul emas.
Kapten Selangor, P Sankari berkata, beliau sangat gembira atas kejayaan meraih pingat emas walaupun mendapat tentangan sengit lawan.
"Kita rasa bangga sebab kita dah berlatih lama sebenarnya. Sekurang-kurangnya 11 bulan kita berlatih untuk dapat pingat emas ini. Jadi, kita sangat gembira.
"Sebenarnya perlawanan tadi bukan senang tapi kita berjaya menang, ini adalah usaha berpasukan jadi saya sangat gembira," katanya kepada Media Selangor.
Katanya lagi, walaupun Wilayah Persekutuan memberi tentangan sengit pada babak akhir perlawanan, beliau berjaya mengawal disiplin pemain untuk memastikan kejayaan menjadi milik mereka.
"Selaku kapten saya kena pastikan disiplin dan 'mindset' setiap pemain untuk kekal tenang. Saya rasa bangga dapat mengawal pasukan sehingga tamat perlawanan," katanya lagi.
Terdahulu, Perak menewaskan Terengganu 36-25 untuk menduduki tempat ketiga acara kabaddi wanita sekali gus membawa pulang pingat gangsa.
Untuk rekod, Wilayah Persekutuan memenangi pingat emas acara Kabaddi lelaki dan wanita pada SUKMA Sarawak 2024.









