90 peratus pusat data Cyberjaya terhubung rangkaian gentian optik baharu

17 Ogos 2026, 2:00 PM
90 peratus pusat data Cyberjaya terhubung rangkaian gentian optik baharu
90 peratus pusat data Cyberjaya terhubung rangkaian gentian optik baharu
90 peratus pusat data Cyberjaya terhubung rangkaian gentian optik baharu

SHAH ALAM, 17 OGOS: Rangkaian gentian optik sepanjang 40 kilometer (km) yang siap sepenuhnya di Cyberjaya membolehkan hampir 90 peratus pusat data di kawasan itu menikmati sambungan internet berkapasiti tinggi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rangkaian yang dibangunkan menerusi kerjasama SmartSel Sdn Bhd dan OCK Datawave Sdn Bhd itu membuka akses kepada perkhidmatan rangkaian lebih baik untuk pengendali pusat data.

"Cyberjaya itu ada rangkaian dan hampir 90 peratus pusat data di Cyberjaya akan terhubung dengan rangkaian ini.

"Jadi, ia akan memberi peluang perkhidmatan kepada pusat data untuk berhubung dengan rangkaian kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SmartSel Sdn Bhd dan PG Linkaran Fibre Sdn Bhd serta penyempurnaan Projek Fiberisasi Cyberjaya di sini, hari ini.

Amirudin berkata keupayaan rangkaian berkenaan berpotensi diperluas menerusi kerjasama dengan PG Linkaran Fibre bagi menyediakan sambungan ke rangkaian antarabangsa termasuk kabel dasar laut di Singapura.

Menurutnya, jarak antara rangkaian sedia ada dengan infrastruktur PG Linkaran Fibre hanya sekitar 20 hingga 30 meter, sekali gus memudahkan proses penyambungan dilaksanakan.

"Dengan PG Linkaran, seperti saya sebut tadi, untuk keterhubungan di peringkat antarabangsa ataupun internet antarabangsa sehingga kabel bawah laut di Singapura, jaraknya hanya tinggal 20 hingga 30 meter sahaja.

"Dengan itu, sebenarnya ia menyediakan keterhubungan yang lebih lengkap kepada perkhidmatan pusat data kita pada masa depan terutama di Cyberjaya," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata projek fiberisasi seterusnya akan dilaksanakan di Shah Alam menerusi pembangunan rangkaian sepanjang 288km bagi menyokong keperluan bandar pintar.

Jelasnya, berbeza dengan Cyberjaya yang memberi keutamaan kepada keperluan industri, rangkaian di Shah Alam akan meliputi kawasan perumahan, sekolah, pejabat kerajaan serta kawasan perkilangan.

"Di Shah Alam, ia akan menghubungkan semua termasuk rumah, sekolah, pejabat kerajaan dan juga kawasan perkilangan kerana ia adalah keperluan kepada Smart City.

"Kita ada 288km yang pertama di seluruh Shah Alam, tetapi keseluruhan rangkaian yang kita ada di Selangor adalah 889km. Itu akan dibuat secara berperingkat dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.