SHAH ALAM, 18 DIS: Fasa pertama pembangunan rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi milik Kerajaan Negeri akan bermula di Cyberjaya sebagai langkah awal membina tulang belakang digital negeri sepanjang 889 kilometer bagi menyokong pusat data, kesalinghubungan internet berkelajuan tinggi serta pertumbuhan digital masa depan.
Dato' Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jajaran sepanjang 40 kilometer di Cyberjaya itu merupakan pelaksanaan awal Masterplan Selangor Dark Fiber Network di bawah Belanjawan Selangor 2026, dengan kerja-kerja pembinaan telah pun dimulakan lebih awal daripada sasaran asal pada tahun 2026.
Menurut beliau, sebanyak empat kilometer daripada fasa pertama yang mempunyai tempoh pelaksanaan selama enam bulan telah berjaya disiapkan.

Amirudin berkata keseluruhan rangkaian berkenaan dijangka mengambil masa sehingga tiga tahun untuk disiapkan, tertakluk kepada kelulusan pelaksanaan serta pembiayaan.
“Apabila siap, inilah permulaan kepada rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi yang saya umumkan ketika membentangkan Belanjawan Negeri. Untuk peringkat awal ini, kita mulakan di Cyberjaya,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Projek Fibreisasi Cyberjaya dan majlis menandatangani Rangka Kerjasama Perniagaan (BAF) di Hotel Concorde, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Dato’ Saipolyazan M. Yusop, Pemangku Pengarah Urusan Smartsel Sdn Bhd Ritzwan Rosli Modh Rosli, Pengerusi Bukan Eksekutif OCK Group Bhd Datuk Syed Norulzaman Syed Kamarulzaman serta Pengarah Urusan OCK Datuk Sam Ooi Chin Khoon.
Amirudin berkata rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi itu penting untuk masa depan Selangor dan menjadi asas kepada usaha menjadikan negeri ini sebagai negeri pintar, dengan menyediakan sambungan internet yang stabil dan boleh dipercayai kepada penduduk, perniagaan serta pelabur.
“Perkara paling penting ialah tulang belakang digital, iaitu fibreisasi. Infrastruktur digital yang kukuh amat diperlukan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan memastikan daya saing ekonomi negeri dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata Cyberjaya dipilih sebagai lokasi permulaan kerana kedudukannya yang strategik sebagai hab pusat data dan industri komunikasi yang sangat bergantung kepada kelajuan serta kualiti sambungan internet.

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek, Smartsel memeterai Rangka Kerjasama Perniagaan (BAF) bersama OCK serta menandatangani memorandum perjanjian dengan anak syarikatnya, OCK Datawave Sdn Bhd, bagi pembangunan, operasi dan penyelenggaraan infrastruktur gentian optik di Cyberjaya.
Selepas Cyberjaya, Amirudin berkata pembangunan rangkaian akan diteruskan di Shah Alam melibatkan pembinaan kira-kira 178 kilometer lagi gentian optik, selain menegaskan Kerajaan Negeri terbuka untuk bekerjasama dengan lebih banyak rakan strategik pada fasa seterusnya.
“Untuk keseluruhan Selangor, anggaran panjang rangkaian yang dinyatakan dalam belanjawan adalah sekitar 889 kilometer,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Selangor berpotensi dihubungkan dengan rangkaian global, termasuk kemungkinan menjadi lokasi pendaratan kabel dasar laut, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab digital serantau.
Mengulas mengenai kos pelaburan, Amirudin berkata perbelanjaan bagi memperluas rangkaian ke seluruh negeri dianggarkan antara RM500 juta hingga RM800 juta, bergantung kepada kaedah pelaksanaan dan sokongan pembiayaan.
Beliau berkata pentadbiran negeri turut menerima sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan menegaskan Selangor merupakan negeri pertama di negara ini yang mengekalkan pemilikan rangkaian gentian gelapnya sendiri.
Pada 14 November lalu, ketika membentangkan Belanjawan Selangor, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan melaksanakan Pelan Induk Gentian Gelap dengan peruntukan awal RM1 juta bagi meningkatkan kelajuan internet, meluaskan akses digital serta menjana pendapatan melalui pemasangan talian gentian optik pada anggaran kos RM267 juta, dengan pulangan diunjurkan sebanyak RM196 juta dalam tempoh lima tahun.


