SHAH ALAM, 17 OGOS: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di bahu jalan selepas kehabisan minyak.
Kejadian berlaku di atas jejambat Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan, kira-kira 5 petang semalam, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, berkata mangsa berusia 35 tahun itu menunggang motosikal Yamaha 135LC dari Kota Bharu menuju Pengkalan Kubor melalui jejambat berkenaan.
"Apabila sampai di lokasi dan semasa sedang bergerak melalui selekoh Jalan Flyover Wakaf Bharu, mangsa dipercayai terlanggar belakang sebelah kanan sebuah lori yang ditinggalkan dalam keadaan parkir di bahu kiri jalan disebabkan kehabisan minyak.
"Akibat perlanggaran itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian dada disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh Penolong Pegawai Perubatan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan punca kematian disebabkan oleh 'Mutiple Fatal injury due to motor vehicle accident' yang disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Tumpat,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik di talian 09-7257222 atau hadir ke Pejabat Trafik IPD.







