SHAH ALAM, 16 OGOS: Selangor menerusi Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) berkongsi pengalaman membangunkan ekosistem sokongan menyeluruh bagi insan istimewa negeri dalam lawatan rasmi ke Department of Social Welfare and Development (DSWD) di Manila, Filipina.
Menerusi kenyataan di Facebook, agensi itu memaklumkan perkongsian meliputi pendekatan Selangor yang menghubungkan bantuan kewangan, saringan, intervensi, sokongan ibu bapa, pembangunan kemahiran serta Independent Living Support Centre (ILSC).
“Pendekatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memastikan insan istimewa mendapat sokongan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan lebih berdikari.
“Perkongsian pengalaman ini memberi ruang kepada kita melihat bagaimana pendekatan sokongan boleh disusun secara menyeluruh daripada peringkat saringan dan intervensi sehinggalah kepada pembangunan kemahiran dan sokongan kehidupan berdikari,” katanya.
Dalam lawatan rasmi baru-baru ini, delegasi YANIS ke Quezon City, Metro Manila diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Ar. Kamarul Hisham Yeop Hashim.
Dalam lawatan itu, DSWD turut berkongsi pendekatan Filipina dalam aspek perlindungan sosial, program berasaskan komuniti, rehabilitasi vokasional, pengesanan dan intervensi awal, sokongan keluarga, pembangunan kemahiran serta peluang pekerjaan.
“Antara yang diketengahkan ialah Project Aruga, model perlindungan sosial inklusif yang menyediakan sokongan kepada kanak-kanak dengan ketidakupayaan serta keluarga mereka.
“Pertemuan dua hala ini membuka peluang pertukaran kepakaran dan perkongsian ilmu, khususnya dalam pengurusan kes, pembangunan kompetensi, transisi kerjaya serta model sokongan berpusatkan keluarga.
“Perkongsian serantau itu penting bagi membolehkan Selangor meneliti amalan terbaik yang bersesuaian dengan konteks tempatan dalam usaha memperkukuh ekosistem sokongan insan istimewa yang lebih inklusif, tersusun dan berorientasikan keperluan mereka serta keluarga,” katanya.







