16 pelancong Malaysia selamat susulan gempa bumi di Nusa Tenggara Timur

15 Ogos 2026, 3:10 PM
16 pelancong Malaysia selamat susulan gempa bumi di Nusa Tenggara Timur

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Sekumpulan 16 pelancong Malaysia yang berada di sekitar kawasan terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur, Indonesia disahkan selamat dan berada dalam keadaan sihat.

Kementerian Luar memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berjaya menghubungi kumpulan berkenaan susulan gempa bumi yang melanda timur laut Mbay di Kabupaten Nagekeo pada 4.58 pagi waktu tempatan.

“Pada peringkat ini, kementerian boleh mengesahkan bahawa tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden ini.

“Selain itu, pihak Kedutaan berjaya menghubungi sekumpulan 16 pelancong Malaysia yang diketahui berada di sekitar kawasan berkenaan dan kesemuanya disahkan selamat serta berada dalam keadaan sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terjejas.

Rakyat Malaysia yang menetap atau sedang dalam perjalanan ke kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk kekal berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

“Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan situasi ini secara dekat dan menyalurkan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perkembangan baharu membabitkan rakyat Malaysia,” katanya.

Rakyat Malaysia turut digesa mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular dengan pantas.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular segera atau berdepan kecemasan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi talian kecemasan +62 813 8081 3036 atau e-mel mwjakarta@kln.gov.my.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.