
KUALA SELANGOR, 15 OGOS: Pernah berjuang membawa nama Selangor di pentas Sukan Malaysia (SUKMA), kini bekas pemain bola jaring negeri, Siti Aminah Ahmad, meneruskan khidmatnya kepada dunia sukan dari belakang tabir sebagai pegawai teknikal SUKMA 2026.
Mesra disapa Min, wanita yang pernah mewakili Selangor pada SUKMA 2011 itu kini menggalas tanggungjawab sebagai pegawai teknikal bagi acara berbasikal mountain bike (MTB) di Lembah Peladang Agro Park, Kuala Selangor.

Menurut Siti Aminah, penglibatan dalam SUKMA kali ini memberi peluang kepadanya meneruskan kecintaan terhadap sukan selepas tidak lagi beraksi sebagai atlet.
Beliau yang merupakan kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata, pengalaman terlibat dalam SUKMA sebelum ini turut membuka ruang untuknya menyumbang dalam kapasiti berbeza.
“Ketika SUKMA di Sarawak, saya pernah diberi tanggungjawab mewakili pihak berkuasa tempatan itu sebagai Bapa Angkat kepada Kontinjen Selangor.
“Tahun ini Selangor menjadi tuan rumah dan saya diberi tanggungjawab untuk bertugas sebagai pegawai teknikal.
“Saya sudah tidak boleh main SUKMA. Disebabkan minat dalam sukan, saya nak terlibat juga dengan SUKMA,” katanya kepada Media Selangor.

Pengalaman sebagai atlet juga menjadi kelebihan buat Siti Aminah kerana beliau memahami sendiri keperluan peserta yang sedang berjuang membawa nama negeri.
Katanya, aspek kebajikan dan kemudahan asas seperti makanan, penginapan serta kelengkapan pertandingan perlu diberi perhatian supaya atlet dapat memberi fokus sepenuhnya kepada saingan.
“Untuk atlet, yang penting adalah kemudahan seperti makanan yang cukup, penginapan yang selesa dan semua kelengkapan mencukupi kerana kami akan berjuang habis-habisan untuk negeri tercinta,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Aminah berkata MBPJ turut memberi sokongan terhadap penglibatan kakitangannya dalam menjayakan SUKMA 2026 menerusi pelepasan atau cuti tanpa rekod bagi melaksanakan tugasan sepanjang temasya.
Menurutnya, penglibatan warga MBPJ merangkumi pelbagai bidang termasuk teknikal, perubatan dan pengurusan bagi memastikan perjalanan temasya berlangsung lancar.
Bagi Siti Aminah, kembali terlibat dalam SUKMA selepas bergelar bekas atlet merupakan pengalaman bermakna kerana beliau berpeluang menyumbang pengalaman yang dimiliki untuk membantu generasi atlet baharu.
Penglibatan bekas atlet dalam aspek teknikal dan pengurusan juga membuktikan khidmat kepada dunia sukan tidak berakhir selepas seseorang meninggalkan gelanggang, sebaliknya pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki terus mempunyai nilai dalam pembangunan sukan negeri dan negara.







