KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Dua pelajar perempuan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, Melaka yang dilaporkan hilang sejak 11 Ogos lalu, ditemukan di kawasan Pasar Seni atau Central Market, di sini kira-kira 10.30 malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata dua pelajar berusia 16 tahun itu didapati mendapat rawatan di sebuah Klinik Kesihatan berhampiran kerana kurang sihat sebelum dijumpai.
“Selepas ditemukan, mereka telah dibawa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan telah diserahkan kembali kepada pihak keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata dua pelajar itu ditemukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.
Terdahulu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook rasminya turut berkongsi kesyukuran selepas dua pelajar itu dijumpai.
Semalam, media melaporkan polis menerima laporan membabitkan kehilangan kedua-dua pelajar itu daripada guru mereka.







